Kerjasama UMNO-Pas: "Ibarat bertunang dengan kita, kahwin dengan orang lain" - Noh Omar

Madiha Abdullah
Oktober 11, 2022 17:00 MYT
UMNO mahu bekerjasama dengan Pas, namun pendirian parti itu yang masih bersama PN menghalang perkara tersebut direalisasikan, kata tan Sri Noh Omar. - Gambar fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO Selangor sentiasa mempunyai hubungan baik dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) namun untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia perlu mendapat restu daripada pucuk pimpinan.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, parti itu secara asasnya mahu bekerjasama dengan Pas namun pendirian parti itu yang masih bersama Perikatan Nasional (PN) menghalang perkara tersebut direalisasikan.
"Apa pun kita tunggu arahan dari atas (pucuk pimpinan). Prinsipnya mudah, kita memang nak bekerjasama dengan Pas tetapi masalahnya Pas masih lagi dengan Perikatan Nasional, ibarat bertunang dengan kita, kahwin dengan orang lain.
"Kalau nak patah balik, tak ada masalah tetapi tak bolehlah bersama dengan PN. Syarat yang dikenakan Presiden UMNO sama dengan apa yang dibincangkan peringkat negeri.
"Pas tak nak bertembung dengan UMNO tetapi kalau tak nak bertembung dengan UMNO, mereka pakai lambang PN.
"Di kawasan lain pula, kalau UMNO terpaksa bertembung dengan PN juga, bagaimana? Jadi semua ini perlu diperjelaskan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2022, pada Selasa.
Bulan lalu, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan Pas akan kekal bersama PN pada pilihan raya umum akan datang.
Namun minggu lalu media melaporkan pertemuan antara Abdul Hadi dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menguatkan khabar angin mengatakan MN akan dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.
Difahamkan, pertemuan itu berlangsung pada 20 September lalu dan keputusan perbincangan pula dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung Jumaat lalu.
#UMNO #PAS #bubar parlimen #PRU15
;