Kerjasama UMNO-Pas demi harungi cabaran arus perdana politik tanah air - Abdul Hadi
Astro Awani
Julai 26, 2019 17:58 MYT
Julai 26, 2019 17:58 MYT
Pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) antara UMNO dan Pas pada 14 September depan berteraskan kerjasama erat dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air secara matang.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata senario politik semasa memerlukan tumpuan khusus diberikan terhadap perkara penting demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Menurut Abdul Hadi, pihaknya juga membuka ruang yang luas kepada parti lain yang berminat untuk menjalin kerjasama.
“Penyatuan orang Melayu Islam Bumiputera ini sangat penting dan dalam masa sama, tak boleh menafikan (hal ehwal) bukan Islam.
“Sebab itu kita mengambil kira parti bukan Islam yang tidak esktrem. Yang tidak ekstrem seperti MIC, MCA dan PBS yang sikapnya agak terbuka. Seperti Parti Gagasan Sarawak yang tidak ekstrem, itu kita boleh terima.
“Ini sepatutnya acuan yang kita buat untuk Malaysia, yang kita gabungkan, ini perlu diusahakan. Ini yang sangat penting,” ujar beliau.
Abdul Hadi berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rhusila, Marang pada Jumaat.
UMNO dan Pas memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan MoU yang akan diadakan pada 14 September depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, piagam dan MoU itu dijangka ditandatangani Presiden UMNO dan Pas dengan dihadiri semua pemimpin dari seluruh negara.
Piagam bersama MoU berkenaan digubal satu jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.