Kerjasama UMNO dan DAP bukan mustahil - Kadir Jasin

Irwan Muhammad Zain
Disember 6, 2020 11:36 MYT
A. Kadir berhujah bahawa DAP yang membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) juga ingin kembali berkuasa boleh membentuk gabungan baru termasuk dengan UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara UMNO dan DAP untuk membentuk kerajaan bukan perkara mustahil, kata bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin.
Menurut Kadir, UMNO mungkin boleh menimbangkan kerjasama dengan DAP untuk menarik sokongan bukan Melayu yang sudah tidak bersama Barisan Nasional (BN).
“Apakah UMNO yang terdesak untuk kembali berkuasa tidak terfikir untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang kuat seperti DAP?
“Barisan Nasional (BN) sudah nazak. MCA dan MIC tidak dapat menarik undi bukan Melayu lagi. Undi Cina dan India sudah dibolot DAP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook peribadi beliau.
Beliau juga berhujah bahawa DAP yang membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) juga ingin kembali berkuasa boleh membentuk gabungan baru termasuk dengan UMNO.
“Tidak menghairankan jika DAP, yang pernah merasa nikmat kuasa melalui PH, beraspirasi untuk kembali semula ke Putrajaya melalui sebuah pakatan baharu yang termasuk UMNO.
“Kalau Dr Mahathir Mohamad boleh bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menumbangkan BN, apakah UMNO tidak terfikir kaedah yang sama?
“Wallahuaklam. Demikianlah muslihat dan tipu-helah politik dimana konspirasi bukan sekadar teori tetapi boleh bertukar menjadi realiti,” katanya lagi.
Dalam tulisannya, Kadir turut mendedahkan beliau menerima mesej menerusi WhatsApp dari seorang pengurus dana yang berpangkalan di Hong Kong tentang kerjasama antara dua parti itu.
Mesej itu diterima pada petang Jumaat lepas, hari dimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan sebagai Menteri Besar Perak.
Pada Jumaat, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Tambun gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya bagi mengekalkan kedudukan sebagai menteri besar.
Sebanyak 48 undi menolak usul keyakinan itu berbanding 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari UMNO, Datuk Abd Manaf Hashim.
#PPBM #UMNO #PKR #Barisan Nasional #Mahathir Mohamad #DAP #MIC #MCA #Pakatan Harapan #Facebook #A Kadir Jasin #politik perak
;