Kerjasama rentas parti satu pendekatan bersejarah - Agong
Astro Awani
September 15, 2021 11:23 MYT
September 15, 2021 11:23 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kerjasama rentas parti yang yang telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September, 2021 lalu sebagai satu pendekatan yang bersejarah.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya MOU Transformasi dan Kestabilan Politik ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
"Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan Kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
"Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.
"Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh Kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.
"Bahkan, faktor-fakor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur," ujarnya.
Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Baginda menegaskan Kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.
"Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan Kerajaan.
"Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," jelasnya.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Transformasi dan Kestabilan Politik
#Dewan Rakyat
#kestabilan politik