Kerjasama rentas parti perlu dilihat secara holistik - Abdul Karim

Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 24, 2021 16:16 MYT
Abdul Karim berharap kerajaan dan pembangkang berkompromi secara strategik dengan mengenepikan permusuhan politik demi masa depan rakyat dan ekonomi negara. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kerjasama rentas parti melibatkan pemimpin pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 perlu dilihat dari perspektif yang lebih holistik.
Naib Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap, pemimpin yang terlibat tidak melahirkan bayang-bayang politik dalam menguruskan kebajikan rakyat itu.
Katanya, kali ini matlamat untuk mengembalikan ekonomi dan menjamin kesihatan penduduk perlu diterjemahkan bersama-sama merentasi sempadan politik.
“Kita perlu lihat dari perspektif kerajaan yang mentadbir dan dari pihak pembangkang, kerana COVID-19 ini tidak memilih parti politik.
“Jangan mempolitikan perkara ini dan fokus kepada perspektif yang diutamakan. Siapa yang menjadi pentadbir, yang menjadi penggubal dasar semasa pandemik mereka perlu melihatnya dari perspektif menyeluruh supaya rakyat dapat terjaga,” katanya semasa sidang media Program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) di Kuching pada Selasa.
Merangkap Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Abdul Karim menegaskan peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kedua-dua pihak berkompromi secara strategik.
Malah katanya, kerajaan telah melaksanakan dengan baik pelbagai program dan mekanisme untuk mengawal kes COVID-19 dalam negara antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Mengambil contoh dari perspektif JPBN Sarawak, saya percaya pihak kami telah melakukan alternatif yang terbaik, walaupun yang terbaik itu kadang-kadang masih belum memadai.
“Kita tidak boleh terus menerus menyalahkan kerajaan, ianya tidak adil sedangkan banyak sudah inisiatif yang telah dilaksanakan. Contohnya walaupun kita telah melarang orang ramai untuk pergi ke majlis pengebumian, masih ada yang datang, tidak patuh SOP, dan mewujudkan kluster baharu,” katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
BACA: PM tawar pembangkang anggotai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19
#Politik Malaysia #COVID-19 #Perdana Menteri #Sarawak
;