Kerjasama politik: PKR Selangor tunggu keputusan Majlis Syura Pas - Azmin

Wan Syamsul Amly
Mei 9, 2017 11:42 MYT
AZMIN: Sebarang keputusan berhubung kerjasama PKR dengan Pas di Selangor hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas. - Gambar fail
Sebarang keputusan berhubung kerjasama PKR dengan Pas di Selangor hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang dijangka dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, yang paling penting kini ialah meneruskan tugas masing-masing dalam memberi khidmat kepada rakyat negeri itu sendiri.
"Jangan buat spekulasi, seperti dinyatakan Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Presiden Keadilan, kita akan menghormati keputusan daripada Majlis Syura Pas.
"Sekarang kita tunggu keputusan Majlis Syura Pas. Kerajaan terbentuk berdasarkan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ia bukan kepartian," katanya semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
BACA: Muktamar Pas: Tidak perlu letak jawatan exco kerajaan Selangor - Khalil
BACA: Tanpa PAS, PKR mungkin berdepan kekalahan - Pemuda PAS Selangor
Sebelum ini, Wan Azizah berkata, ketika ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai usul yang dibuat Dewan Ulama dan Dewan Pemuda Pas.
Dewan Pemuda Pas sebelum ini meluluskan usul sebulat suara untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.
Usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda Pas Terengganu semasa Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Pas Kedah baru-baru ini juga tidak menerima apa-apa bantahan daripada perwakilan yang menghadiri.
Selain Dewan Pemuda, Dewan Ulama turut meluluskan usul yang sama ketika Muktamar pergerakannya.
Sebelum ini, Perwakilan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias berkata tiada kerugian bagi parti itu untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Tegasnya, PKR sendiri tidak meletakkan agenda Islam sebagai sebahagian daripada perjuangannya.
PKR sebelum ini turut dituduh mengkhianati syarat perjanjian antara parti dan tidak menghormati Pas dalam beberapa isu seperti isu rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin memberitahu, apa sahaja cadangan yang diberi mengenai Kerajaan Selangor harus dihormati semua pihak.
Ia susulan cadangan Naib Ketua Pemuda Nasional AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin yang mencadangkan Azmin supaya segera melakukan rombakan kabinet dengan mengetepikan Pas.
#Azmin Ali #PAS #PKR #RUU 355