Kerjasama Pas-UMNO tak jejas MIC - Vigneswaran
Sinar Harian
September 17, 2018 23:41 MYT
September 17, 2018 23:41 MYT
Kerjasama antara Pas dan Umno tidak memberi sebarang kesan kepada parti komponen BN terutamanya MIC.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, secara prinsipnya, kerjasama itu tiada kesan negatif.
"Selagi mana kerjasama itu tidak menjejaskan perjuangan MIC terhadap kaum dan agama Hindu," katanya kepada Sinar Harian.
Selasa lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin sebarang keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung kerjasama dengan Umno akan diterima anggota parti akar umbi.
Katanya, kerjasama antara Pas dan Umno akan diteruskan sekiranya ia membawa lebih banyak kebaikan kepada Islam dan orang Melayu.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama MCA bagi memberi penjelasan berhubung dasar parti.
Katanya, parti komponen BN tidak perlu bimbang terhadap perjuangan Pas kerana mereka bukan parti ekstremis.