Kerjasama PAS-Ikatan: Blok ketiga diberi nama Gagasan Sejahtera
Hafiz Marzukhi
Ogos 13, 2016 14:42 MYT
Ogos 13, 2016 14:42 MYT
PAS dan rakan sekutunya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengumumkan Gagasan Sejahtera sebagai nama rasmi kerjasama politik mereka.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerjasama ini yang akan dikenali sebagai Gagasan adalah satu perkara baharu dalam landskap politik negara yang akan menawarkan satu pilihan lain untuk rakyat.
"Justeru, rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada," kata Abdul Hadi.
Katanya lagi, Gagasan tidak akan mengamalkan budaya politik melampau serta berasaskan emosi tetapi budaya politik yang matang dan sejahtera.
"Kita mengamalkan politik berasaskan kebenaran dan bukan berasaskan pembentukan persepsi semata-mata," kata beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, apabila ditanya tentang kemungkinan bekerjasama dengan parti baru yang diberi nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abdul Hadi berkata masih terlalu awal untuk membincangkan hal tersebut.
"Parti itu belum didaftar secara rasmi pun lagi. Kita tunggu dan lihat dahulu," kata Abdul Hadi.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia sealiran dengan budaya politik yang diamalkan Gagasan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah pimpinan tertinggi PAS dan Ikatan termasuk Presidennya Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.