Kerjasama PAS, DAP dan PKR masih diteruskan - Wan Azizah

Bernama
Jun 21, 2015 06:51 MYT
Wan Azizah (gambar) percaya hubungan antara parti gabungan Pakatan Rakyat masih boleh dipulihkan.
Biarpun Pakatan Rakyat (PR) telah diisytihar tidak lagi wujud, namun kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR masih diteruskan, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada surau dalam Parlimen Permatang Pauh di Masjid Jamek Kampung Pelet dekat sini hari ini, Dr Wan Azizah berkata beliau mempunyai pandangan optimis terhadap semangat yang ada dalam pakatan pembangkang.
Pada Rabu lepas, beliau dilaporkan mengakui bahawa gabungan politik pakatan pembangkang tidak lagi berfungsi secara formal.
Keadaan itu, katanya, berlaku berikutan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas pada Muktamar PAS Ke-61, manakala Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula telah mengumumkan 'penamatan riwayat' PR.
Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan pembacaan dan pengamatannya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS sama ada yang tewas atau menang dalam pemilihan jawatan parti itu, mereka telah memberi mesej bahawa ketiga-tiga parti terbabit akan terus bersama-sama.
Selasa lalu, media melaporkan DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' PR.
#DAP #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #wan azizah wan ariffin
;