Kerjasama Muda-Warisan tidak boleh ketepikan Sarawak - Penganalisis politik

Hasimi Muhamad
April 19, 2021 17:12 MYT
Jika kerjasama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan (Warisan) menjadi realiti, ia disifatkan sebagai cubaan untuk kedua-dua parti itu saling lengkap-melengkapi satu sama lain.
KUALA LUMPUR : Jika kerjasama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan (Warisan) menjadi realiti, ia disifatkan sebagai cubaan untuk kedua-dua parti itu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.
Penyelidik GeoPes Universiti Malaysia Sabah (UMS), Romzi Ationg berpandangan, parti Warisan memerlukan satu pengaruh untuk melebarkan sayap mereka ke Semenanjung, sementara Muda pula masih tidak memiliki pemimpin akar umbi di negeri Bawah Bayu itu.
Bagaimanapun, Romzi berkata, kerjasama itu tidak seharusnya mengetepikan Sarawak.
"Saya beranggapan, gabungan ini (Muda dan Warisan) adalah semata-mata untuk mengurangkan risiko kepada aspek tersebut (pengaruh di Semenanjung dan sokongan di Sabah).
"Saya melihat apabila tindakan kerjasama ini adalah usaha untuk menangani masalah-masalah tersebut. Cumanya, apabila kita bercakap mengenai usaha untuk mengukuhkan pengaruh politik masing-masing, kita kena lihat dalam aspek yang lebih luas, yakni bukan hanya tertumpu kepada Sabah dan Semenanjung, tetapi juga harus melihat secara lebih luas iaitu di mana letaknya Sarawak?
"Pertembungan antara parti tempatan dengan parti wilayah yang lain akan berlaku, tetapi kita harapkan ia sesuatu yang positif dan memberi ruang yang lebih kepada pengundi untuk melihat mana satu parti yang bersesuaian untuk agenda masing-masing," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
PRU15 | Kerjasama Muda dan Warisan
Mengulas lanjut, Romzi berkata kerjasama tersebut tidak memberi cerminan kepada sokongan pengundi muda pada pilihan raya akan datang.
Ini kerana, katanya pengundi muda di Semenanjung dan Sabah akan melibat bagaimana kedua-dua parti itu memperjuangkan agenda golongan muda.
"Jadi saya tidak melihat walaupun parti Muda dipanggil muda, tidak semestinya pengundi muda akan cenderung kepada parti tersebut sekiranya parti ini mempunyai satu agenda yang bercanggah dengan pengundi, begitu juga dengan parti-parti yang lain.
"Ia memang akan merancakkan sokongan orang muda tetapi saya lebih melihat kepada keadaan yang lebih realistik dimana pengundi muda ini melihat, adakah parti tersebut akan memperjuangkan kepentingan golongan muda?" katanya lagi.
Beliau menambah, tindakan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga memilih untuk bergabung dengan Muda bagi mengelakkan parti itu terpalit dengan isu-isu integriti.
Sehubungan itu, Romzi yakin bahawa isu-isu integriti akan menjadi fokus kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Jadi ia sudah tentu akan memberi pilihan yang lebih kepada pengundi jika PRU15 nanti," katanya lagi.
#Mohd Shafie Apdal #muda #Warisan #Kerjasama politik Muda dan Warisan #PRU15 #Sabah #Semenanjung Malaysia
;