Kerjasama GRS, parti nasional masih diperlukan untuk kestabilan politik Sabah - Hajiji

Bernama
September 21, 2024 22:46 MYT
Hajiji berkata kerjasama antara GRS dan PH yang membentuk kerajaan negeri kini diperlukan dalam mendepani PRN Sabah akan datang. - Gambar fail/Bernama
SIPITANG: Kerjasama antara parti tempatan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti nasional masih diperlukan untuk memastikan kestabilan politik negeri itu, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu berkata kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri kini diperlukan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
"Sabah masih belum dapat mencontohi Sarawak dalam membentuk kerjasama politik eksklusif melibatkan hanya parti tempatan bagi mendepani PRN akan datang.
"Susunan kerjasama yang kita ada sekarang antara GRS, PH dan rakan lain adalah terbaik buat masa ini. Sabah masih memerlukan hubungan erat dengan parti nasional," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif dan Datuk Rubin Balang serta Setiausaha Agung parti itu Datuk Razali Razi dan Ketua Bahagian Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.
Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS.
"Kita mesti satu hati dalam GRS dan pastikan tiada sabotaj antara satu sama lain. Jika kita terus bekerjasama dan saling membantu, saya yakin kita boleh mencapai kemenangan besar dalam PRN nanti," katanya.
Yusof, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, pula berkata kestabilan politik adalah faktor penting dalam memastikan pembangunan Sabah secara berterusan.
Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi kepimpinan Hajiji yang telah membawa perkembangan positif untuk Sabah terutama menerusi beberapa strategi bagi menjana ekonomi.
"Rangka ekonomi yang berkesan dan jelas berjaya meningkatkan pendapatan negeri hampir RM7 bilion pada tahun lepas. Saya menyeru semua pihak untuk menyokong usaha ini demi mencapai matlamat pembangunan negeri," katanya.
-- BERNAMA
#Pakatan Harapan #PRN #GRS #Parti Nasional
;