Kerjasama dengan GRS, BN Sabah akan tentukan, tidak mahu ditipu - Bung Moktar

Abdul Hafiz Mustadi
Julai 2, 2022 18:07 MYT
Tambah Bung Moktar, BN Sabah akan menyediakan pelan dan manifesto baharu kepada negeri itu menjelang PRU15.
PENAMPANG: Barisan Nasional (BN) Sabah akan menentukan hala tuju mereka bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Tegas Pengerusi BN Sabah itu, hala tuju itu akan akan mengambil kira serta memastikan BN tidak dipermainkan atau ditipu.
"Kita tidak mahu dalam posisi yang mana BN adalah 'rakan' dalam gabungan tetapi dilayan tidak adil atau adil," katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah 2022 di Penampang pada Sabtu.
Tambah Bung Moktar, BN Sabah akan menyediakan pelan dan manifesto baharu kepada negeri itu menjelang PRU15.
Selain itu katanya, jentera BN perlu bekerja keras untuk memperkukuhkan sokongan akar umbi termasuk dalam kalangan belia.
"Jangan risau tentang siapa yang akan menjadi calon (PRU15). Mengenai hal itu (calon) kita serahkan kepada presiden," katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyelar kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili yang mendakwa BN terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.
Sambil meminta Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu jangan bermain api, Bung Moktar mahu parti komponen dalam GRS itu menghormati BN dan tidak mengkhianatinya.
"Saya tidak mendedahkan perkara yang PBS lakukan untuk merosakkan Sabah. Tunggu dan lihat," katanya.
#Bung Moktar Radin #Barisan Nasional #Sabah #Gabungan Rakyat Sabah
;