Kerjasama dengan DAP akan musnahkan UMNO - Penganalisis

Firdaus Azil
Mac 21, 2021 17:48 MYT
Amat berbeza situasinya jika UMNO bekerjasama dengan parti Melayu lain seperti Pas dan Bersatu, malah dengan PKR sendiri, kerana masih boleh diterima akar umbi.
KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara UMNO dan DAP, jika benar-benar direalisasikan, akan memberi ‘kemusnahan’ kepada parti Melayu Islam itu, kata Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Mohamad Tawfik Yaakob.
Menurut beliau, kerjasama itu akan menyebabkan UMNO terpaksa mengubah atau berkompromi dengan hala tuju dan dasar partinya sekali gus akan memberi risiko kepada penerimaan akar umbi dan juga masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, tindakan itu sama sekali berbeza dengan kerjasama politik dengan Pas, PKR mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan ketiga-tiga parti itu merupakan pecahan dari UMNO sendiri.
“Sejarahnya itu tak boleh kita nafikan hubungan Pas dengan UMNO, PKR dengan UMNO, Bersatu dengan UMNO itu jelas. Tetapi dalam konteks DAP ini, daripada sebelum merdeka lagi. Memang susah wujudkan bibit hubungan atau kerjasama UMNO dengan DAP.
“Kalau muncul pun ini akan mencetuskan atau menciptakan satu pecahan atau kemusnahan politik kepada UMNO itu sendiri, berbanding DAP yang mempunyai masa depan yang lebih jelas kerana mendapat sokongan besar daripada kaum Cina,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Kerjasama DAP-UMNO | Tidak untuk PRU15, hanya isu-isu rakyat
Pada 19 Mac lepas, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk mencari konsensus dengan mana-mana parti, sama ada dalam kalangan parti rakan gabungan atau parti yang lain termasuk UMNO.
Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, tiada kerjasama politik dengan UMNO, melainkan mendapat persetujuan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Kata Guan Eng, setakat ini CEC masih berpegang kepada keputusan yang dicapai sebelum ini iaitu tiada kerjasama dengan UMNO, terutamanya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Mohamad Tawfik berkata, keadaan agak jelas menunjukkan UMNO sedang berada dalam persimpangan sama ada harus bekerjasama dengan parti dalam Perikatan Nasional ataupun untuk menetapkan satu kerjasama atau jajaran baharu dengan Pakatan Harapan.
“Kerana kita lihat kalau kerjasama dengan Bersatu dan Pas, itu tidak menjadi masalah kepada UMNO.
“(Sebaliknya) kalau kita lihat kerjasama dengan DAP, ini akan menyebabkan kumpulan dan orang Melayu akan mula menolak UMNO dan ini akan beri kelebihan kepada Pas dan Bersatu,” ujar beliau lagi.
#kerjasama UMNO DAP #UMNO #DAP #PPBM #PAS #PKR #Pakatan Harapan #Astro Awani #Merdeka #Malaysia #pilihan raya umum #ahmad zahid #Anwar Ibrahim #Lim Guan Eng #Mohamad Tawfik Yaakob
;