Kerjasama akar umbi PH-BN terus diperkukuh - Asyraf Wajdi

Bernama
Julai 13, 2024 22:30 MYT
Asyraf Wajdi berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Taiping di Hotel Taiping Perdana, Taiping, pada Sabtu. - Facebook Asyraf Wajdi
TAIPING: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan terus memperkukuhkan kerjasama termasuk di peringkat akar umbi demi kestabilan dan kemakmuran politik negara.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata meskipun menyedari perkara itu akan mengambil masa, namun ia tidak mustahil untuk dicapai.
"Dalam konteks Kerajaan Perpaduan ni pun sama juga...untuk parti-parti yang dulunya berseteru, tetapi apabila ditakdirkan bersama, ia akan ambil masa.
"Ini merupakan proses biasa sebab kita di peringkat pimpinan pun kita tidak ada pendekatan untuk memaksa dan lebih penting ia (kerjasama) berlaku secara semula jadi," katanya yang juga Setiausaha Agung UMNO.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Taiping di Hotel Taiping Perdana yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie di sini, semalam.
Pada 11 Julai lalu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan kerajaan perpaduan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama di peringkat akar umbi membabitkan ahli PH dan BN.
-- BERNAMA
#Asyraf Wajdi Dusuki #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #kerjasama