Keretakan Pakatan Rakyat: 'UMNO jangan duduk goyang kaki' - Dr Najmil

Wan Syamsul Amly
Jun 12, 2015 14:12 MYT
DR NAJMIL: UMNO tetap disifatkan masih tidak cukup kuat jika parti masih mempunyai pergolakan dalaman serta pimpinan yang masih tidak bersatu.
Ahli dan kepimpinan tertinggi UMNO diminta tidak terlalu gembira dan menganggap isu keretakan serta krisis dalaman Pakatan Rakyat (PR) sebagai kelebihan untuk parti itu menang mudah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, UMNO tetap disifatkan masih tidak cukup kuat jika parti masih mempunyai pergolakan dalaman serta pimpinan yang masih tidak bersatu.
"Kita sedia maklum Pakatan Rakyat memang dari dahulu tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Apabila Pakatan Rakyat pecah, UMNO sebenarnya tetap tidak kuat.
"Pimpinan UMNO mesti dari teladan. Kalau pimpinan atas bergolak anak buah lagi tidak terpimpin. Kalau dibiarkan berterus, rakyat akan muak dengan kerenah pimpinan dan mereka mula mencari alternatif lain.
"Namun tuhan masih sayangkan UMNO kerana dalam krisis kita, Pakatan Rakyat pula lemah. Cuba bayangan kalau kita lesu dan Pakatan Rakyat bertenaga, tentu kita kalah," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
BACA: Pakatan Rakyat sudah tiada lagi - Kit Siang
Kita sedia maklum Pakatan Rakyat memang dari dahulu tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Apabila Pakatan Rakyat pecah, UMNO sebenarnya tetap tidak kuat

Dr Najmil mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang beranggapan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selepas parti sekutunya, PAS memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan politik dengan DAP pada Muktamar tahunannya, Sabtu lalu.

BACA: 'DAP hanya putuskan hubungan dengan Hadi, bukan PAS' - Guan Eng
Kit Siang turut mempersoalkan tindakan PAS yang mahu merujuk usul itu ke Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk dikaji.
Katanya, berdasarkan perlembagaan parti itu, khususnya Perkara 7, ia menyatakan bahawa Muktamar PAS adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti selagi tidak melanggar hukum yang terkandung dalam Quran dan Sunnah.
BACA: Sudah tiba masa untuk penubuhan parti Islam Demokrat baru
Dalam pada itu kata Dr Najmil, rakyat kini memerlukan pimpinan yang bertenaga dan dapat meyakinkan masyarakat dalam setiap tindakan mereka.
"UMNO perlu muhasabah di kalangan pimpinan. Perlu bertenaga dan bersatu. Masa untuk pilihan raya tidak lama, jika 2018, hanya dua tahun lebih sahaja lagi," jelasnya.
BACA: 'PAS masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat' - Tuan Ibrahim
Ujarnya, sebanyak 60 peratus undi orang muda pada PRU ke-14 akan datang membuktikan kepentingan kumpulan itu sendiri.
"Orang muda memerhati dan menilai apa yang dilakukan oleh pimpinan. Orang muda sekarang bukan seperti Pemuda UMNO pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak.
"Orang muda sekarang ada ada maklumat di hujung jari. Mereka ada fakta dan tidak perlu retorik lagi. Mereka pandai dengan maklumat dan amalan yang dibuat oleh pimpinan.
"Mereka sekarang bukan menyokong secara membabi buta. Kebanyakan mereka adalah pengundi atas pagar. Mereka akan memilih pimpinan yang boleh menjamin masa depan," tegasnya.
BACA: "Sama ada PAS atau DAP, saya akan buat pilihan ikut rakyat" - Azmin
Oleh itu kata Dr Najmil, pimpinan atas tidak harus meminggirkan kehendak anak muda kerana mereka merupakan penentu kerajaan pada PRU akan datang.
"Gerak kerja dan polisi kerajaan haruslah dapat memberi keyakinan dan menawan hati mereka," ujarnya.
#Najmil Faiz Mohamed Aris #Pakatan Rakyat #PRU #UMNO
;