'Kerana demokrasi kita hanya gantung jawatan Muhyiddin' - Tengku Adnan
Wan Syamsul Amly
Februari 28, 2016 19:41 MYT
Februari 28, 2016 19:41 MYT
Penolakan UMNO Bahagian Pagoh terhadap keputusan Majlis Tertinggi parti yang menggantung jawatan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan isu minoriti berbanding 191 jumlah bahagian di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan menggantung jawatan Muhyiddin itu telah dibuat secara demokrasi selain keputusan konsensus daripada semua ahli MT parti sendiri.
"Kita terpaksa mengambil tindakan, kalau tidak ambil tindakan, apa yang hendak kita kata. Itu baru satu bahagian (Pagoh), kita dapat maklum balas 190 bahagian lagi mahu Muhyiddin dipecat.
"Namun kita tetap menggunakan demokrasi dalam semua keputusan. Kerana itu kita gantung dahulu jawatan Muhyiddin," katanya selepas merasmikan Kenduri 1 Wilayah Persekutuan dan Sesi Gotong-Royong di PPR Pekan Batu di sini, hari ini.
Pada Sabtu, Setiausaha UMNO Bahagian Pagoh, Ashraf Mokhtar memberitahu, bahagiannya mengambil pendirian untuk menolak keputusan Majlis Tertinggi parti yang menggantung jawatan Muhyiddin.
Katanya, keputusan itu dicapai selepas bahagian tersebut bermesyuarat pada Sabtu.
Pada Jumaat, MT UMNO sebulat suara bersetuju untuk menggantung jawatan Muhyiddin selaku timbalan presiden sehingga pemilihan parti akan datang.
Penggantungan itu hanya melibatkan jawatan timbalan presiden dan Muhyiddin masih boleh meneruskan tugas sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh seperti biasa.
Bagaimanapun pada Sabtu, Muhyiddin di dalam satu kenyataan media berikrar akan terus bersuara biarpun tidak lagi memegang jawatan utama dalam parti dan kerajaan.
Muhyiddin turut mengakui akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi yang lebih menyeluruh selain keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
#majlis tertinggi
#Muhyiddin Yassin
#penggantungan MUhyiddin
#Tengku Adnan Tengku Mansor
#Timbalan Presiden UMNO
#umno pagoh