Kerajaan tunggu surat rasmi Pembangkang tolak draf MoU Peruntukan - Fadillah

Bernama
September 15, 2024 16:50 MYT
Fadillah berkata setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan tersebut menerusi laporan media. -Gambar fail/Bernama
PUSA: Kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Ringkasan AI
  • Kerajaan menunggu surat rasmi daripada pembangkang yang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hanya mengetahui penolakan ini melalui laporan media.
  • Pembangkang menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. MoU tersebut juga dikatakan bertentangan dengan nilai budaya, moral, dan agama.
  • Fadillah berharap pembangkang akan mengemukakan cadangan balas terhadap perkara yang tidak dipersetujui dalam draf MoU. Kerajaan akan membincangkan sama ada untuk meneruskan rundingan atau menghentikannya jika pembangkang tidak mahu berunding lagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan tersebut menerusi laporan media.
"Saya menunggu surat rasmi daripada mereka dan apabila ada nanti, saya akan bawa ke peringkat jawatankuasa majlis perundingan Kerajaan Perpaduan.
"Dari situ, kita akan berbincang lanjut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Regata Pusa, di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.
Menyentuh asas penolakan itu, Fadillah berkata apa yang dikemukakan adalah draf MoU dan beliau mengharapkan pihak pembangkang akan mengemukakan cadangan balas terhadap perkara-perkara yang tidak dipersetujui dalam draf berkenaan.
"Kita akan bincang lanjut sama ada kita perlu meneruskan rundingan atau jika ini adalah keputusan muktamad daripada pihak pembangkang yang mereka tidak mahu berunding lagi," tambahnya.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #MoU peruntukan pembangkang #surat rasmi #Perlembagaan Persekutuan
;