Kerajaan tidak boleh 'hanya cakap sahaja' - bekas setiausaha politik Tun Razak
Haider Yutim
Januari 15, 2015 09:00 MYT
Januari 15, 2015 09:00 MYT
Kerajaan mestilah melaksanakan apa yang mereka katakan kerana rakyat akan menilai dari perbuatan dan bukannya percakapan, kata seorang bekas setiausaha politik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Beliau, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, pentadbiran yang baik akan dilihat dari segi pelaksanaannya dan bukan percakapan yang bersifat retorik semata-mata.
“Kerana akhirnya rakyat akan melihat bukan daripada cakap, bukan daripada retorik tetapi daripada perbuatan,” katanya ketika berucap dalam forum sempena 39 tahun pemergian Perdana Menteri Malaysia yang kedua itu.
Menyentuh tentang pemerintahan Tun Razak, Abdullah berkata pada zaman itu tidak berlaku masalah berunsur keagamaan dan kaum seperti yang berlaku sekarang.
“Kerana Tun Razak tahu hendak menangani hal ini… dan ketika itu Pas pula ada bersama Umno, dan DAP pula tidak kacau kerana pada masa itu kita adil,” kata veteran Umno itu.
Jelas beliau, keadaan itu wujud sekarang kerana ramai pihak bercakap tentang agama dan kaum termasuk isu hak asasi manusia dan Perlembagaan.
Selain itu, Abdullah berkata di Malaysia sekarang golongan miskin lebih ramai daripada golongan kaya dan jurang pendapatan bukan sahaja berlaku di antara kaum, tetapi juga dalam kaum itu sendiri.
“Antara Cina sama Cina pun jurang kekayaan itu semakin melebar… di kalangan Melayu, lagi semakin melebar. Dulu tiada miskin bandar di kalangan orang Melayu, tetapi sekarang ini banyak,” kata beliau yang juga bekas ketua pengarang The New Straits Times (NST).
Namun katanya, kemiskinan boleh juga menjadi faktor yang menyatukan semua rakyat Malaysia kerana kemiskinan tidak mengira kaum.
“(Contohnya) banjir tidak kira kaum… tidak kira Pas, DAP atau Umno disapunya semua. Sebab itu saya kata kalau hendak agihkan bantuan banjir jangan kira parti, jangan kira bangsa,” tegas Abdullah.
Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku sekarang, golongan miskin sering bergaduh sesama mereka sedangkan golongan kaya terus bersatu untuk melindungi kekayaan mereka.
“Yang miskin lebih ramai di Malaysia berbanding yang kaya, kerana yang kaya lebih bersatu untuk melindungi kekayaan mereka, sedangkan yang miskin selalu bertengkar sesama mereka.
“Jadi mereka terus berpecah… dan selagi yang kaya dapat memecahkan yang miskin, saya rasa simpati terhadap mereka,” katanya.
Menurut beliau, keadaan ini tidak berlaku semasa pemerintahan Tun Razak kerana agenda Tun Razak pada masa itu ialah mengangkat taraf hidup golongan miskin ke tahap yang lebih selesa.
“Idea Tun Razak adalah untuk menyama-ratakan semua orang, bukan untuk menarik orang kaya menjadi miskin tetapi mengangkat orang miskin ke taraf hidup yang lebih baik,” katanya.
Menyentuh tentang keadaan Malaysia sekarang pula, Abdullah berpandangan bahawa keadaan negara sekarang memang baik tetapi masih boleh dipertingkatkan menjadi lebih baik.
Forum bertajuk ‘Memperingati Tun Razak’ dianjurkan oleh portal online DAP, roketkini.com pada Rabu malam.
Turut hadir pada forum tersebut ialah ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR) Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputeh (DAP) Teresa Kok; dan ketua pengarang The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq.