Kerajaan tidak abai kepentingan anak muda - Ketua Armada

Astro Awani
Ogos 25, 2021 18:05 MYT
Wan Ahmad berkata, anak muda mungkin masih kurang jelas saluran untuk mereka bersuara dan menyatakan pendapat isu-isu penting berkenaan polisi serta pentadbiran kerajaan. - fotoBernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan anak muda selain menyedari peranan mereka sebagai kumpulan pengundi besar negara.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun berkata, mereka mungkin masih kurang jelas saluran untuk mereka bersuara dan menyatakan pendapat isu-isu penting berkenaan polisi serta pentadbiran kerajaan.
"Mekanisme mungkin kurang jelas dalam kalangan anak muda yang mungkin kalau ditanya dalam media sosial, mereka mungkin tidak terlibat dengan persatuan belia.
"Cara kerajaan berinteraksi dengan anak muda dari segi penggubalan dasar ialah melibatkan mereka secara rasmi melalui program kerajaan yang telah digubal contohnya dalam Kementerian Belia dan Sukan.
Mungkin penglibatan dari segi penglibatan tertinggi kurang, berapa ramai belia yang menjadi Timbalan Menteri, ahli Parlimen dan senator dalam kerajan, jadi wakil-wakil ini yang menjadi suara belia kepada kerajaan dan pembangkang.
"Jadi memang ada cuma mungkin, saya setuju representasi mungkin masih kurang jadi kita boleh tambah bilangan dan tetapi ia perlu dari parti politik masing-masing," katanya semasa dihubungi pada Rabu.
BACA: 'Harap cadangan dengar suara anak muda bukan retorik' - Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan
BACA: Beri lebih ruang anak muda dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara - MBM
Sebelum ini, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha menegaskan, kerajaan perlu memastikan ruang penglibatan anak muda lebih terbuka dalam Dewan Rakyat serta Dewan Negara dengan pelantikan lebih ramai menteri serta senator.
Menurutnya, langkah itu adalah tindakan realistik selaras dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi sebelum ini juga berkata, dadangan kerajaan untuk mendengar suara anak muda diharap bukan sekadar retorik semata-mata.
Tegasnya, ia perlu lebih inklusif, diversiti dan tidak mengira dari mana-mana parti.
#Wan Agmad Fayshal Wan Ahmad Kamal #Angkatan Bersatu Anak Muda #ARMADA #Jufitri Joha
;