Kerajaan terus bantu, tiada sekatan royalti kepada Terengganu - Fahmi

Bernama
November 24, 2024 18:00 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin Kepada Pemandu E-Hailing Parlimen Lembah Pantai di Kampung Pantai Dalam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan Kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.

Ringkasan AI
  • Penafian Sekatan Royalti: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu, dan menegaskan bantuan akan terus disalurkan seperti Wang Ihsan.
  • Pengurusan Dana: Kerajaan memastikan semua peruntukan sampai terus kepada projek yang dimaksudkan untuk kelancaran pelaksanaan dan mengelakkan isu pengurusan dana.
  • Isu Lain: Fahmi juga menafikan laporan mengenai tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan menyifatkan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kos lawatan Perdana Menteri sebagai tidak berasas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ihsan sebelum ini.
"Tak benar dakwaan itu, kita cuma nak pastikan semua peruntukan itu sampai terus kepada mana-mana projek yang dimaksudkan kerana ia (dana) hak milik rakyat dan harus sampai kembali kepada rakyat dengan saluran tepat dan projek dimaksudkan terlaksana.
"Ia bagi memastikan kelancaran mana-mana pelaksanaan projek, dan keduanya untuk memastikan tidak berlaku apa-apa isu dari aspek pengurusan dana, tak naklah dana terima projek tak jalan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin kepada 150 pemandu teksi dan e-hailing di Parlimen Lembah Pantai di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti kepada negeri itu.
Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut case-by-case.
Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perjalanan dan kos lawatan Perdana Menteri ke luar negara, Fahmi menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai 'ketinggalan bas'.
"Boleh (minta SPRM siasat), tapi saya nak maklum Tan Sri ketinggalan bas, kita dah keluar kenyataan, sudah perinci perbelanjaan, malah niat Datuk Seri Anwar Ibrahim nak sewa pesawat khas itu untuk kurangkan perbelanjaan dan pembaziran waktu telah beri kerajaan penjimatan lebih RM900,000," katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR turut menafikan laporan media bahawa lembaga disiplin parti berkenaan akan memuktamadkan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini, susulan beberapa kritikannya kepada kerajaan.
"Saya tidak dimaklumkan, kebiasaannya bagi parti ini, proses lembaga disiplin itu perlu melalui mesyuarat, akan dibentang ke Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, tapi setahu saya kita tak dijadual untuk ada mesyuarat hari ini," katanya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil
;