Kerajaan tak wajib bubar Parlimen jika MoU tamat - Anwar

Sinar Harian
April 18, 2022 18:50 MYT
Kata Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu, MoU itu sendiri hanya sekadar wahana mencari jalan menyelamatkan keadaan dalam tempoh pandemik COVID-19. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melihat polemik perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik dimeterai di antara koalisi itu dan kerajaan terlalu penting untuk dibincangkan ketika ini.
Ujarnya, penamatan tempoh perjanjian MoU gencatan politik yang bakal berakhir selepas Julai tahun ini belum pasti akan mencetuskan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, perkara itu terpulang kepada pendirian parti-parti kerajaan dan pembangkang untuk menentukan bentuk keutamaan bersama yang perlu dicapai selepas tempoh perjanjian MoU berakhir.
Tambah Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu lagi, MoU itu sendiri hanya sekadar wahana mencari jalan menyelamatkan keadaan dalam tempoh pandemik COVID-19.
"Saya tidak fikir ini (polemik MoU) terlalu penting untuk PH kerana dahulu PH setuju bagi menghormati penekanan kuat Yang di-Pertuan Agong terhadap keperluan kerjasama di antara parti kerajaan dan pembangkang tanpa mengira siapa pun Perdana Menteri.
"Daripada titik tolak itu, kita cerakinkan beberapa isu mengikut keutamaan termasuk usaha menangani Covid-19, masalah kemiskinan dan mereformasikan Parlimen. Saya tidak katakan rakyat puas hati sepenuhnya, tetapi kita tidak boleh nafikan kejayaannya atas desakan Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi belum pasti tiada MoU kelak, maka PRU15 akan terus dilaksanakan. Itu terpulang kepada pendirian parti kerajaan dan pembangkang untuk menentukan keutamaan kita selepas itu," katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian, The Vibes dan Malaysiakini di Pejabat Presiden PKR di Jalan Gasing, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini yang membuat beberapa ketetapan termasuk kedudukan MoU antara kerajaan dengan PH.
Badan pembuat keputusan tertinggi UMNO itu turut menetapkan MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu tidak akan diteruskan lagi bagi membuka cadangan pembubaran Parlimen oleh kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
MKT UMNO turut sebulat suara memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15 sekali gus mengundang tanda tanya sama ada perjanjian MoU gencatan politik itu bakal ditamatkan selepas Julai depan.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan isu pembubaran Parlimen serta tarikh luput MoU itu merupakan dua perkara berbeza dengan ia terpakai sehingga Parlimen dibubarkan.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui tuntutan penamatan MoU dan pelaksanaan PRU15 segera sememangnya dilaungkan oleh UMNO dan mendakwa parti itu mula angkuh dan merasakan mereka mampu menang semua pilihan raya selepas kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, Anwar yakin UMNO belum tentu menang pada PRU15 memandangkan pola dan corak sokongan rakyat mungkin berbeza dengan mereka.
"UMNO hanya boleh beri pendapat sahaja dan tidak boleh anggap diri sebagai pemerintah yang menentukan segala-galanya kerana parti itu hanya mempunyai 42 kerusi Parlimen.
"Saya hendak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita harus lihat kekuatan kita dan kena terima kenyataan bahawa rundingan MoU adalah di antara PH dan Perdana Menteri serta pasukan dalam kerajaannya.
"Berbalik kepada isu MoU, saya hendak jelaskan kita (PH) akan pastikan perjanjian itu (dipenuhi) sehingga akhir Julai ini dan bersedia berunding sekiranya mahu diteruskan," tegasnya lagi.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#Anwar Ibrahim #Parti Keadilan Rakyat #Pakatan Harapan #pilihan raya umum #PRU15 #Politik Malaysia #MoU #gencatan politik
;