Kerajaan sedar naratif politik semasa - Dr Wan Azizah

Bernama
Ogos 29, 2019 20:55 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika ditemui wartawan pada Program Wacana Ilmu Sri Satria "Politik Melayu Islam Pasca PRU-14" hari ini. - fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedar mengenai naratif politik semasa di mana rakyat mengharapkan sesuatu yang luar biasa dilakukan dalam memenuhi harapan masyarakat.
"Itu memang biasa dalam apa-apa situasi dan bagi kita kemenangan yang dicapai juga merupakan satu kejutan.
"Apabila sudah mengambil alih kerajaan, barulah kami dapat tahu realiti sebenar bagaimana situasi dana dan hutang yang dimiliki negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ilmu Sri Satria: Politik Melayu Islam Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di sini hari ini.
Dr Wan Azizah akur kekurangan pengalaman pentadbiran yang dimiliki anggota Kabinet sekarang kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaksa mereka mendepani naratif semasa politik dalam keadaan mencabar.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata kerajaan terus belajar serta mengambil kira semua aspek dan yakin pada akhirnya harapan rakyat boleh ditunaikan.
"Ini kali pertama kita (Malaysia) mengubah kerajaan, jadi berikan kami peluang dan masa untuk melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat," katanya.
Berkenaan sama ada kerajaan Pakatan Harapan sedia menghadapi PRU15 jika mengambil kira naratif semasa politik tanah air, Dr Wan Azizah berkata ia masih awal untuk diperkatakan kerana tempoh untuk pilihan raya umum diadakan masih jauh.
Mengenai piagam UMNO-Pas yang akan dimeterai pada 14 Sept ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama itu hanyalah satu perjanjian politik atas kepentingan parti politik berkenaan semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.
Ia nyata berbeza dengan Pakatan Harapan yang mahu melakukan yang lebih baik melibatkan aspirasi rakyat keseluruhannya, katanya.
Wacana Ilmu Sri Satria hari ini menampilkan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.
#berita politik #Dr Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #Pakatan Harapan #PAS #Pilihan Raya Umum ke-14 #Pilihan Raya Umum ke-15 #PRU14 #PRU15 #UMNO #Wan Azizah Wan Ismail
;