Kerajaan Sarawak adil halang kemasukan mana-mana individu - Abang Johari

Bernama
April 16, 2016 21:38 MYT
ABANG JOHARI: Kerajaan sedar niat serta pandangan sesetengah mereka yang agak ekstrem, boleh menimbulkan 'kacau' menjelang PRN.
Kerajaan Sarawak sentiasa bersikap adil dalam tindakannya menghalang mana-mana individu mahupun pemimpin parti politik daripada memasuki negeri itu, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata mana-mana individu yang disyaki mempunyai niat tidak baik akan dihalang daripada masuk ke Sarawak, lebih-lebih lagi menjelang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 pada 7 Mei ini.
Katanya, kerajaan sedar niat serta pandangan sesetengah mereka yang agak ekstrem, boleh menimbulkan 'kacau' menjelang PRN, yang menyebabkan kemasukan mereka dihalang untuk sementara waktu ini, namun selepas PRN mereka boleh dibenarkan masuk ke Sarawak.
"Ini rumah kita ada pintu, kalau orang nak kacau keluarga kita, apa nak buat, tentulah kita akan tutup pintu. Kalau ada pelawat yang berniat baik baru kita buka pintu," katanya kepada pemberita di Damai Central di sini, Sabtu.
Abang Johari, yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan Sarawak menghalang Ketua UMNO Sungai Besar, Selangor, Datuk Jamal Yunos tetapi membenarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk memasuki ke negeri itu.
"Kita adil kepada semua pihak tapi kita nak pertahan keamanan dan keharmonian kaum dan agama di Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kekeliruan berhubung pembahagian kerusi antara dua parti pembangkang iaitu DAP dan PKR pada PRN-11 adalah masalah serius sedang dihadapi Pakatan Harapan ketika ini.
"Dalam pilihan raya tentu ada persaingan, mereka ada masalah antara parti negeri dan parti pusat...ini masalah mereka," katanya.
Semalam, DAP semasa mengumumkan yang ia akan bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN-11 berkata, sekiranya PKR bertindak melanggar persetujuan awal mengenai pembahagian kerusi, sudah pasti pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.
#Abang Johari Tun Openg #pilihan raya negeri #pilihan raya Sarawak #pilihanraya Sarawak #politik #PRN #Sarawak
;