Kerajaan Pulau Pinang ditempelak kerana terlalu defensif

Bernama
Mei 18, 2016 08:10 MYT
SHARIFUL AZHAR: Kerajaan negeri sepatutnya cari penyelesaian bukan buat perbandingan.
Kerajaan Pulau Pinang ditempelak kerana bersikap terlalu defensif apabila barisan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mempersoal tentang sesuatu isu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung sejak minggu lepas.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata apabila kerajaan negeri diminta memberi penjelasan terhadap sesuatu perkara, jawapan diberikan sekadar membuat perbandingan dengan negeri-negeri lain.
Katanya apabila isu seperti prestasi bola sepak negeri kurang memberangsangkan timbul, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Pulau Pinang, Chong Eng hanya membuat perbandingan dengan tahap kemajuan pasukan kebangsaan.
"Bila tanya tentang (isu penggondolan hutan) di Bukit Botak, kerajaan negeri kata di Kedah lagi teruk.
"Tidak perlu terlalu defensif, kerajaan negeri sepatutnya cari penyelesaian bukan buat perbandingan dengan negeri lain," katanya semasa mencelah perbahasan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas oleh Muhammad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) pada persidangan DUN di sini pada Selasa.
Sebelum itu, Chong Eng yang mencelah perbahasan Muhammad Yusoff berkata kerajaan negeri tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya ke atas prestasi pasukan bola sepak negeri yang semakin merosot.
Beliau berkata dahulu pasukan bola sepak Malaysia adalah yang terbaik di Asia sehingga pernah mengalahkan Korea Selatan, namun prestasi pasukan kebangsaan kini juga sudah menurun.
Kenyataan ADUN DAP Padang Lalang itu menyebabkan ketegangan dalam kalangan beberapa Adun pembangkang.
Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) yang turut mencelah berkata mengapa Chong Eng tidak membuat perbandingan dengan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang muncul juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lepas.
Persidangan dewan disambung esok.
#ADUN #berita politik #kerajaan negeri #politik Pulau Pinang #pulau pinang #shariful azhar othman
;