Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim buntu pulihkan ekonomi, dakwa Muhyiddin

Firdaus Azil
November 24, 2023 16:23 MYT
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen IDCC hari ini. -Bernama
SHAH ALAM: Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak mempunyai sasaran yang jelas mengenai pertumbuhan ekonomi negara dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama untuk semua rakyat.
Malah, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Ekonomi Madani gagal mengemukakan satu komitmen yang jitu untuk membangunkan masyarakat Bumiputera.
Muhyiddin, yang merupakan Perdana Menteri di antara 2020 dan 2021 berkata, proses pemulihan ekonomi masih perlahan walaupun ancaman COVID-19 telah berakhir, dan semua sektor ekonomi telah dibuka.
“Sepatutnya, dengan berakhirnya COVID-19 dan pembukaan ekonomi dunia, Malaysia segera mengambil peluang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyusut kepada 3.9 peratus pada tahun ini berbanding unjuran 4.3 peratus pada bulan April.
“Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga merudum sebanyak 60 peratus, iaitu dari RM55.4 bilion bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2022 ke RM22.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun ini,” katanya lagi.
Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, langkah kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula tahun hadapan akan menambah beban rakyat.
“Sekarang pun rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang. Saya turun ke bawah berjumpa dengan orang ramai. Hampir semuanya kata harga barang mahal.
“Sehingga ada yang berkata kepada saya, 'kita ini macam dah tak ada kerajaan'.
"Maknanya, mereka sudah sampai ke tahap letih dan kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak ambil peduli tentang nasib mereka,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata, dapatan terkini Merdeka Center juga menunjukkan hanya 41 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan pada bulan Oktober, manakala 78 peratus responden mengatakan masalah ekonomi antara kebimbangan paling utama rakyat.
“Ini berbeza dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional di mata rakyat. Dalam tempoh setahun pertama mentadbir negara kita masih dapat mengekalkan sekitar 60 peratus tahap puas hati rakyat.
“Walaupun pada masa itu kita berhadapan dengan cabaran yang paling getir dalam sejarah negara, iaitu wabak COVID-19 dan penutupan ekonomi.
"Ini bermakna, walaupun dahulu PH kata kita gagal, rakyat kata kita lulus. Yang gagal sebenarnya adalah mereka,” katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim #pertumbuhan ekonomi Malaysia #ekonomi madani
;