Kerajaan Perpaduan tumpu lima aspek bangunkan Kedah - Ahmad Zahid

Adie Sufian Zulkefli
Mei 21, 2023 06:25 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan ketika merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan Perpaduan menggariskan lima perkara yang akan diberi keutamaan untuk rakyat Kedah sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lima perkara itu membabitkan perniagaan agro, pendidikan maahad tahfiz, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bekalan air dan juga menaik taraf kemudahan telekomunikasi bagi meningkatkan ekonomi dan keupayaan modal insan rakyat Kedah.
"Tumpuan kepada agro business (perniagaan), dan ini bukan hanya soal keterjaminan makanan dan menjadikan Kedah terus sebagai negeri padi tetapi ialah keberhasilan produktiviti kepada usahawan padi, keberhasilannya mesti dipertingkatkan.
"Untuk itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah pasti akan mencari metodologi atau kaedah baharu bagi mempertingkatkan keberhasilan sawah padi harus dibela bukan hanya dengan soal harga padi, tetapi soal baja dan lain-lain bantuan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menjelaskan mengenai pendidikan maahad tahfiz, Ahmad Zahid berkata pihaknya berazam untuk membantu pelajar maahad tahfiz di Kedah menguasai bidang TVET selain terus memperkukuhkan ilmu al-Quran.
Katanya, dalam masa yang sama kerajaan Persekutuan juga tidak akan meminggirkan sekolah Cina dan sekolah-sekolah yang lain.
"Kewajaran untuk membantu maahad tahfiz bukan hanya soal pembelajaran atau Al-Quran tetapi menyalurkan (pelajar) mereka untuk berada di tingkat yang lebih tinggi.
"Maka Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan juga universiti lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited untuk menyalurkan mereka mendapat bukan sahaja diploma tetapi ijazah hingga ke peringkat PhD," katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata setakat ini terdapat kira-kira 9,000 pelajar maahad tahfiz daripada 1,199 institusi itu di Kedah.
Katanya, kerajaan juga akan berusaha membantu maahad tahfiz yang belum mendaftar untuk membuat pendaftaran di agensi berkaitan.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan mewujudkan kolej TVET dibawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi memperkasakan pendidikan berkenaan.
"Daripada 1,291 institusi TVET di seluruh negara, kerajaan membelanjakan RM6.8 bilion, tentunya negeri Kedah jangan harus dipinggirkan...kita akan empower dengan beberapa enhancement program ataupun kita memberikan kursus atau program yang bersesuaian dengan kehendak pasaran guna tenaga," katanya.
Ahmad Zahid turut memberikan jaminan bahawa isu air di Kedah untuk penggunaan domestik akan ditangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan manakala usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G akan turut diberikan penekanan.
"Kawasan luar bandar saya telah memberikan penekanan agar kawasan luar bandar jangan pernah tertinggal dan dipinggir untuk mendapat liputan ataupun roaming coverage bagi 5G ini dan kita akan lakukan koordinasi khususnya di kawasan luar bandar, kawasan pemeriksaan, saya sendiri akan memantau," katanya lagi.
Ketika ditanya adakah lima perkara yang dinyatakan akan dimasukkan dalam manifesto kerajaan Perpaduan kelak, beliau berkata perkara itu bukan manifesto tapi akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya menang di Kedah.
#Zahid Hamidi #PRN #Kerajaan Perpaduan #Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah