'Kerajaan Perpaduan bukan anti Islam' - Anwar

Sinar Harian
Julai 7, 2023 17:58 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) bersalaman dengan pelajar tahfiz ketika hadir ke Masjid Kariah Panchor Jaya bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak adil mengatakan dirinya meninggalkan Islam, sekular atau liberal hanya kerana berkawan dengan DAP.
Tegasnya, Kerajaan Perpaduan yang ditadbirnya ketika ini juga bukan kerajaan anti Islam seperti yang didakwa beberapa pihak, malah peruntukan untuk agama Islam lebih tinggi berbanding dahulu.
"Pengalaman saya sekarang dalam kerajaan, dengan pimpinan UMNO, Pakatan Harapan(PH) dan DAP di sini, kita buat keputusan belum berlaku dalam sejarah yang peruntukan untuk Islam lebih tinggi berbanding dahulu.
"Bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan, tetapi saya memilih untuk kita bantu semua sekolah agama rakyat. Di mana yang kata kita anti Islam? Adakah kerana saya tak berjubah berserban?," soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pada Jumaat.
Menurut Anwar, tiada makna jika seseorang itu sekadar bercakap mahu menyelamatkan Melayu dan Islam tetapi mengizinkan negara dipimpin oleh mereka yang menyakau harta rakyat.
"Melayu bagaimana boleh diselamatkan jika pemimpin tak amanah. Islam bagaimana nak ditonjolkan jika tak menjadi contoh negara diurus dengan baik,"katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Perpaduan tidak akan kukuh hanya dengan parti gabungan PH saja.
Tambahnya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bagi menentukan dasar negara yang boleh membentuk tata kelola yang baik. -- Sinar Harian
#Kerajaan Perpaduan #Anwar Ibrahim #Anti Islam #DAP
;