Kerajaan perlu berhati-hati buat keputusan pelaburan - Perwakilan Melaka
Bernama
Disember 3, 2016 08:46 MYT
Disember 3, 2016 08:46 MYT
Kerajaan perlu berhati-hati membuat sebarang keputusan pelaburan melibatkan perjanjian yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan agar ia tidak menjejaskan masa depan negara, menurut perwakilan Umno.
Wakil Umno Melaka Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kerajaan juga perlu memastikan semua transaksi perdagangan dibuat menggunakan ringgit serta tidak memberikan status tanah hak milik kekal kepada pelabur asing.
"Kita mahu kalau boleh setiap keputusan dan perjanjian yang kita buat, jangan sekali-kali kita mengadaikan maruah dan hak kita.
"Kita mahu setiap perjanjian itu berlandaskan daripada Perlembangaan Persekutuan yang menyebut secara jelas hak keistimewaan Melayu," katanya ketika membentangkan usul ekonomi dalam sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
Ahmad turut mencadangkan semua projek pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam negara oleh kontraktor asing menggunakan bahan asas keluaran tempatan bagi membantu syarikat-syarikat tempatan.
"Apa sahaja projek yang ingin dijalankan di dalam negara mestilah memberikan keutamaan khusus kepada produk tempatan," tambahnya.
Ahmad turut menyokong usaha kerajaan menyediakan peluang perniagaan yang melibatkan ekonomi digital, khususnya kepada usahawan muda Bumiputera bagi menyahut cabaran Dasar Transformasi Nasional 2050.
Membahaskan usul itu, wakil Umno Kedah Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin mahu kerajaan menumpukan kepada ekonomi digital yang dilihat berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2020.
Ketua Umno bahagian Kuala Kedah itu berkata langkah itu akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya melalui pelaburan di dalam dan luar negara serta peluang pekerjaan yang dihasilkan melalui sektor itu.
"Dalam membantu anak muda mengharungi ombak ledakan ekonomi yang amat dahsyat kini, kerajaan perlu mempersiapkan anak-anak kita dengan kadar segera untuk berinovasi dan berdaya juang dalam dunia digital.
"Persiapkan anak-anak kita yang sedang mengikuti kursus vokasional dan di politeknik untuk mendalami bidang digital seperti harta intelek yang berperanan penting untuk membantu industri," katanya. - Bernama