Kerajaan perlu berani jadi tidak popular - Herizal Hezri
Israr Khalid
Disember 27, 2022 07:40 MYT
Disember 27, 2022 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sesebuah kerajaan yang efisyen perlu berani untuk membuat keputusan yang tidak menggembirakan banyak pihak terutamanya rakyat.
Kata penganalisis ekonomi politik dan hubungan antarabangsa Herizal Hazri, populariti bukan perkara yang perlu menjadi kerisauan kerajaan dan ia sepatutnya datang sebagai hasil daripada kejayaan sesebuah dasar dilaksanakan.
Jelasnya, apabila kerajaan berada dalam posisi di mana mereka perlu mengutamakan keputusan yang baik untuk negara (terutamanya pelan-pelan jangka panjang), tentu sekali beberapa keputusan itu tidak akan menjadi popular.
“Sebenarnya kerajaan yang selalu popular ini tidak efisyen kerana untuk menjadi popular, anda kena puaskan hati semua orang dan itu perkara yang tak mungkin.
“Kesan popular atau tidak itu seharusnya dirasakan selepas kejayaan sesuatu polisi itu dan bukannya sebelum.
“Maksudnya (sebagai contoh) dah menang Piala Dunia baru popular, jangan belum bertanding dah popular kemudian kalah, tak guna,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Maka oleh hal demikian, beliau menegaskan bahawa soal populariti tidak perlu difikirkan oleh kerajaan sebaliknya mereka harus sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.