Kerajaan Perikatan Nasional perlu dipertahankan - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Ogos 7, 2021 16:02 MYT
Ogos 7, 2021 16:02 MYT
SINTOK: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhamamd Sanusi Md Nor berkata, keutuhan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi parti UMNO, Bersatu dan Pas perlu dipertahankan.
Ini kerana, kata beliau, kesemua menteri, timbalan menteri dan semua pihak yang berada di dalam kerajaan serta petugas-petugas barisan hadapan sedang melaksanakan kerja dengan baik bagi menangani pandemik COVID-19.
Menteri Besar Kedah itu berkata, sebarang perubahan yang berlaku dalam pentadbiran di peringkat Pusat hanya akan menjejaskan usaha menangani krisis kesihatan yang berlaku memandangkan 'masa yang lebih lama' akan diambil bagi menyelesaikan beberapa perkara teknikal berkaitan pandemik COVID-19.
"Kerajaan ini perlu dipertahankan, mereka (yang terlibat) sedang buat kerja dengan baik, (sentiasa memberi fokus kepada) rakyat (yang) sedang (dalam) kesusahan.
"(Ketika) pandemik COVID-19, kalau kita lantik orang baharu untuk hendak menguasai bidang yang sangat teknikal ini memang sukar, (terutama) bidang perubatan (dan menangani) pandemik.
"Hendak dapat menguasai tentulah doktor dan doktor klinikal (perlu memahami perlbagai perkara), (pengamal perubatan yang) tidak biasa hadapi pandemik pun kena mengaji (belajar) balik, (selain) kena ikuti kursus balik, bayangkan orang besar (dalam pentadbiran) hendak buat (satu-satu) keputusan (untuk negara)," kata beliau lagi.
Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach IPT, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, pada Sabtu.
Beliau sebelum ini turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang sedang sibuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) terutama membabitkan isu penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya ketika ini berganding bahu bagi memberikan fokus bagi gerak kerja untuk menangani krisis berkaitan COVID-19.
Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN sokong Kerajaan PN
Pada Jumaat, 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesemua Ahli Parlimen yang tersenarai itu juga bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
#Kerajaan Perikatan Nasional
#Perikatan Nasional
#PN
#pentadbiran kerajaan
#kerajaan pusat
#akuan bersumpah
#Timbalan Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#Menteri Besar Kedah
#Muhammad Sanusi Md Nor
#PAS
#UMNO
#Bersatu