Kerajaan Perak stabil, 'very bad' kalau Pesuruhjaya Pas bohong - Saarani
Amirrul Rabbani
Mei 22, 2023 10:00 MYT
Mei 22, 2023 10:00 MYT
IPOH: Kerajaan Perpaduan di Perak masih stabil dan kukuh, menurut Menteri Besar, sekali gus menolak dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan pentadbiran negeri sedia ada sebagaimana dibuat Pesuruhjaya Pas Negeri Razman Zakaria.
Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebersamaan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan itu turut didorong sifat bertanggungjawab, termasuk dalam usaha menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak meminta agar semua pihak berpolitik secara bertanggungjawab dan tidak mencetuskan polemik yang tidak bermanfaat kepada negeri, sebaliknya hanya mengundang kekeliruan dan keresahan rakyat.
Ujarnya lagi, tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat itu bukan sahaja akan menggugat kepercayaan para pelabur malah mengundang risiko mengganggu perjalanan pembangunan negeri.
“Sebab itu kita perlu tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak bukan hanya kuat, malah stabil. Saya nak buktikan ini. Kita ada sekurang-kurangnya 31 (hadir pada sidang media).
"Nga Kor Ming, merupakan menteri di peringkat persekutuan, ada di Jepun, manakala seorang lagi dalam perjalanan (ke sini).
“Oleh sebab itu, kita hendak buktikan bahawa tidak ada sesiapa pun di sini, yang ada keinginan untuk bertukar ke sebelah sana (bersama pembangkang), sepertimana yang dinyatakan Razman.
"Apatah lagi kita juga sudah ada Akta Antilompat Parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Hadir sama, semua 31 ADUN kerajaan, kecuali Nga, iaitu ADUN Aulong merangkap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Angeline Koo Haai Yen, ADUN Keranji, yang masih dalam perjalanan semasa sidang media berlangsung.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, kerajaan negeri tidak menolak akan membuat laporan polis sekiranya dakwaan yang dibuat Razman itu dilihat mengganggu-gugat keselamatan negeri.
“Tidak mustahil kita akhirnya (nanti) akan membuat laporan polis, sebab (dakwaan) itu merupakan kenyataan berbaur hasutan.
“Apatah lagi kalau kalau Pesuruhjaya PAS berbohong. It is very wrong, very bad. (Jika) Pesuruhjaya Pas negeri berbohong kepada dunia, very bad,” katanya lagi.
Saarani mengulas kenyataan Razman yang mendakwa beberapa ADUN kerajaan bertemunya, di sebalik khabar angin bahawa Kerajaan Negeri Perak akan tumbang pada Julai ini.
Sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimanapun tidak mendedahkan nama ADUN berkenaan, sebaliknya mengalu-alukan jika benar mereka mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Perak kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN yang mempunyai sokongan 33 ADUN, manakala pembangkang yang diterajui PN mempunyai 26 ADUN.