Kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih masa - Kaji selidik

Firdaus Azil, Saraya Mia
Mei 9, 2019 08:00 MYT
Kerajaan tidak boleh merasa selesa memandangkan kajian yang sama menunjukkan 24.15 peratus masih pesimis dan ragu-ragu dengan pencapaian PH setakat ini.
Sejumlah 34.73 peratus daripada 37,262 orang percaya kerajaan harus diberi lebih daripada tempoh masa dua tahun bagi mengatasi masalah yang timbul sepanjang 61 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Namun, 19.52 peratus daripada keseluruhan responden percaya setahun adalah lebih dari cukup untuk melihat perubahan, dan kerajaan harus lebih pantas dalam usaha itu.
Itu dapatan satu kaji selidik oleh The Edge yang dijalankan di antara 9 dan 24 April lalu.
Secara keseluruhan, 31.90 peratus responden berasa sedikit optimis, manakala 30.70 peratus lagi berasa optimis akan masa hadapan negara kerana Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan yang dijanji, akan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, kajian itu menyebut, ia tidak bermaksud kerajaan boleh merasa selesa memandangkan kajian yang sama menunjukkan 24.15 peratus masih pesimis dan ragu-ragu dengan pencapaian PH setakat ini.
Selain itu, 37.77 peratus dari kalangan responden yang menyumbang kepada statistik ini tidak berpuas hati dengan keseluruhan pencapaian kerajaan.
#Barisan Nasional #kerajaan #Manifesto #Pakatan Harapan #pilihan raya #the edge
;