Kerajaan P.Pinang digesa teliti semula beberapa perkara dalam MPN

Bernama
Jun 28, 2016 18:16 MYT
Jawatankuasa itu juga telah menetapkan mana-mana anggota yang tidak dapat menghadiri mesyuarat akan dianggap bersetuju dengan sebarang keputusan yang dicapai. - Gambar fail
Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta membuat pindaan terhadap beberapa perkara dalam Majlis Pengangkutan Negeri (MPN) yang dilihat bercanggah dengan usul yang dipersetujui pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lepas.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata ini kerana beberapa perkara dalam jawatankuasa itu seolah-olah mencerminkan bahawa kesemua pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) telah dipersetujui termasuk projek tambak laut.
Beliau berkata jawatankuasa itu juga telah menetapkan mana-mana anggota yang tidak dapat menghadiri mesyuarat akan dianggap bersetuju dengan sebarang keputusan yang dicapai.
"Perkara-perkara ini adalah antara sebab wakil rakyat BN (Barisan Nasional) yang dilantik menganggotai jawatankuasa ini (MPN) tidak akan menerima lantikan itu dan (Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang)
Datuk Jahara Hamid juga akan membangkitkan perkara ini kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pertama MPN di sini hari ini.
Shah Headan merupakan antara tiga wakil BN yang dilantik menganggotai MPN bersama-sama Jahara dan ADUN Bayan Lepas Nordin Ahmad, yang berperanan untuk memantau perkembangan pelaksanaan PIP.
Beliau berkata wakil rakyat BN tidak akan bersetuju dengan pelantikan itu sekiranya kerajaan negeri tidak
meminda beberapa perkara yang dibangkit.
"Kami akan menghadiri majlis-majlis MPN untuk mengetahui perkembangan dan maklumat tentang PIP tetapi kami tidak akan menandatangani surat pelantikan itu," katanya.
Penubuhan MPN telah dipersejutui dalam sidang DUN lalu berikutan kontroversi pelaksanaan PIP yang menelan perbelanjaan sebanyak RM27 bilion selain bantahan pelbagai pihak terhadap projek tambak laut di Permatang Damar Laut.
Shah Headan turut mempersoalkan beberapa ketetapan di dalam jawatankuasa itu yang dilihat tidak menggambarkan kerajaan negeri yang berprinsipkan Cekap, Amanah dan Telus (CAT).
Beliau berkata jawatankuasa itu hanya memerlukan 10 anggota untuk meluluskan sesuatu perkara daripada keseluruhan 51 anggota yang dilantik.
"Ini adalah amalan yang tidak adil dan kerajaan seharusnya menyemak semula ketetapan itu. Jika amalan sebegini yang dipraktikkan kerajaan negeri, maka rakyat boleh mempersoalkan setakat mana slogan CAT yang diamalkan mereka selama ini," katanya.
Pada 27 Mei lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan pelantikan tiga wakil rakyat BN bagi menganggotai jawatankuasa itu bersama-sama 51 yang lain termasuk kira-kira 10 wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).
#Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta membuat pindaan terhadap beberapa perkara dalam Majlis Pengangkutan Negeri (MPN) yang dilihat bercanggah dengan usul yang dipersetujui pada persidangan DUN Mei lepas #Shah Headan Ayoob Hussain Shah
;