Kerajaan mungkin tumbang selepas undian Belanjawan 2021?
Firdaus Azil
Disember 14, 2020 19:31 MYT
Disember 14, 2020 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang jika Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 tidak dapat diluluskan kerana kekurangan sokongan majoriti, kata Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam sidang media bersama Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah di ibu negara hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya perkara itu berlaku, beliau berharap agar ahli-ahli Parlimen mula memikirkan tentang kepentingan rakyat.
Ujar Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan Kerajaan Perpaduan boleh dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Rakyat merentasi ideologi parti politik masing-masing.
“Ada kemungkinan esok, apabila mereka (ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021, ada kemungkinan kerajaan akan tewas.
“Saya harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara. Kita lihat kerajaan ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa yang mereka dapat,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, jika kerajaan perpaduan dibentuk, ahli-ahli Dewan Rakyat yang sedang menghadapi kes di mahkamah tidak akan menjadi sebahagian daripadanya.
Menjawab persoalan sama ada beliau akan kembali bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata, bekas timbalannya itu sendiri sudah tidak menghubungi beliau sejak kejatuhan Pakatan Harapan (PH) awal tahun ini.
Namun, ujarnya lagi, sekiranya kerajaan PN tumbang dan Anwar dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan yang mencukupi, Dr Mahathir akan mengikuti kehendak majoriti.
#Mahathir Mohamad
#Tun M
#Tun Mahathir
#Kerajaan Perpaduan
#Dewan Rakyat
#Belanjawan 2021
#Anwar Ibrahim
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#mahkamah
#politik
#kerajaan
#pembangkang
#rakyat
#perpaduan
#undang-undang
#menteri