MASJID TANAH: UMNO Negeri Melaka bersiap sedia untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut sekiranya diputuskan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, parti berkenaan juga sudah siap menghadapi sebarang kemungkinan susulan kemelut politik di negeri itu.

"Saya bercerita prinsip dan perjuangan UMNO, akhirnya (ada yang) menderhaka kepada UMNO dan bangsanya sendiri. Kita akan tolak pemimpin ini.

"Saya diasuh dalam suasana politik sejak jadi Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, saya diasuh bersedia 24 jam menghadapi 1,001 kemungkinan.

"Kalau Tun (Mohd Ali) isytiharkan (PRN) UMNO Negeri Melaka bersedia hadapi kemungkinan, tunggu dan lihat," katanya dalam sidang media di kediamannya di Masjid Tanah pada Isnin.



Dunia politik ini mempunyai 1,001 kemungkinan - Ab Rauf Yusoh

BACA: Kerajaan Melaka berjalan seperti biasa - Sulaiman

BACA: Kerajaan Melaka tumbang: Hubungan saya dengan mereka amat baik - Sulaiman

Turut hadir dalam sidang media itu, Sulaiman yang juga ADUN Lendu selain barisan ADUN UMNO dan pemimpin parti komponen BN negeri.

Sidang media itu diadakan Ab Rauf dan Sulaiman bagi menjelaskan situasi terkini kerajaan Melaka selepas empat ADUN negeri itu mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Keempat-empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).