Kerajaan Melaka tumbang: 'Tidak boleh ada dua singa di atas satu gunung' - Idris Haron
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 4, 2021 13:38 MYT
Oktober 4, 2021 13:38 MYT
MELAKA: Teka-teki ‘gelora’ politik Melaka akhirnya terjawab apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Suleiman Md Ali.
Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Idris berkata, kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
“Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepaa kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan merajaan negeri hari ini.
[TERKINI] Kerajaan Melaka tumbang?: Tidak boleh ada dua singa di atas satu gunung
“Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada Kerajaan negeri ini untuk ditubuhkan,” katanya.
Politik Melaka | Orang politik jangan penting diri
[TERKINI] Perkembangan politik di Melaka | 04 Okt 2021
Dalam pada itu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, beliau bersama Nor Azman yang juga wakil rakyat UMNO bersedia untuk berdepan sebarang tindakan daripada parti itu dan menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin parti.
“Saya dan Nor Azman masih lagi bersama UMNO setakat hari inilah. Sebarang tindakan saya serah kepada parti dan kami tunggu dipanggil oleh badan disiplin.
“Kita memang akan berdepan dengan akibat dan sebagainya, bagaimanapun, kami tetap meletakkan kepentingan rakyat atas segalanya kerana banyak perkara tidak terlaksana seolah-olah 'ada dua singa atas satu gunung',” tambahnya.
Sebelum ini spekulasi bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Idris dan Norhizam yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan bagaimanapun sebelum ini menafikan terlibat dengan sebarang usaha menumbangkan kerajaan kepimpinan Sulaiman.
Untuk rekod, Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan Negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.