Kerajaan Melaka tumbang: Pengumuman khas Speaker DUN dan SUK petang ini
Fareez Azman
Oktober 5, 2021 13:36 MYT
Oktober 5, 2021 13:36 MYT
MELAKA: Satu pengumuman khas dijangka akan dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Kamel Mohamad jam 3.00 petang ini.
Perkara itu disahkan Ab Rauf ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
Sidang media yang dipercayai berhubung kemelut politik di negeri itu dijangka akan diadakan di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini sidang media itu secara langsung di semua platform sosial media dan saluran 501 Astro AWANI.
Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).