Kerajaan Melaka tumbang: "Nafsu, kepentingan peribadi atasi akal rasional" - Jailani

Fareez Azman
Oktober 4, 2021 20:30 MYT
Menurut Muhammad Jailani, tindakan beberapa ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu tidak seharusnya berlaku ketika pemulihan ekonomi dan kehidupan rakyat sedang berjalan. - Gambar Facebook
MASJID TANAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyifatkan kemelut politik yang berlaku di Melaka ketika ini disebabkan kehendak peribadi dan tuntutan nafsu pemimpin tertentu.
Tegasnya, tindakan beberapa ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu tidak seharusnya berlaku ketika pemulihan ekonomi dan kehidupan rakyat sedang berjalan.
"Saya ada satu ayat nak cakap, nafsu dan kepentingan mengatasi akal yang rasioal. Nafsu dan kepentingan peribadi mengatasi akal rasional.
"Ketika rakyat susah, kita baru masuk fasa tiga nak pastikan kehidupan rakyat bagus, tiba-tiba ada (yang) berkepentingan," ujar beliau dalam sidang media di kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut krisis yang berlaku itu, tegas Jailani, apa yang wajar dilakukan ialah mandat rakyat perlu dikembalikan agar kestabilan politik dapat dicapai.
"Bagi saya pulangkan mandat kepada rakyat lebih baik," sambung Muhammad Jailani lagi.
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: Sokong PH, keahlian Idris Haron, Nor Azman dalam UMNO gugur - Ab Rauf
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: UMNO siap sedia hadapi PRN - Ab Rauf
Muhammad Jailani turut menghadiri sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi menjelaskan situasi terkini kerajaan Melaka selepas empat ADUN negeri itu mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Keempat-empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
#kerajaan melaka tumbang #kepentingan peribadi #krisis politik Melaka #Ketua Menteri Melaka
;