Kerajaan GRS-PH Plus adil kepada semua tanpa mengira fahaman politik - Hajiji

Bernama
September 8, 2024 20:15 MYT
Hajiji berkata walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, namun soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau. - Foto Facebook Hajiji Noor
TUARAN: Kerajaan Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus sentiasa bersikap adil terhadap semua pihak termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, namun soal keadilan tetap menjadi pegangan beliau.
Pengerusi GRS itu berkata atas prinsip berkenaan, beliau berusaha sebaik-baiknya memberi layanan adil kepada semua rakyat di negeri itu termasuk dalam soal pemberian biasiswa kerajaan negeri tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama penerima.
"Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita ialah kerajaan," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian 2024 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman di sini hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut meminta pemimpin peringkat akar umbi seperti ketua cawangan, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya bertindak adil dengan tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada semua rakyat.
"Beri maklumat betul kepada kerajaan atau wakil rakyat. Ini prinsip saya pegang selama 35 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, tanyalah kawan-kawan di sini. Sebagai manusia, ramai juga yang tidak suka saya, tapi itu tidak mengapa, saya tidak simpan dalam hati," katanya.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan sikap pembangkang yang mengkritik kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan sengaja "menutup mata" kerana enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata masalah bekalan air dan jalan raya yang dihadapi Sabah ketika ini bukanlah perkara baharu sebaliknya isu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Justeru, Hajiji berkata keinginan pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah mimpi kerana yakin rakyat Sabah bijak menilai dan memilih parti atau gabungan parti yang mampu membawa Sabah ke arah kemajuan.
-- BERNAMA
#GRS #PH Plus #Hajiji Noor #politik
;