Kerajaan digesa bawa usul pencen ahli politik di Parlimen, DUN - Syed Saddiq
Sinar Harian
Januari 29, 2024 13:10 MYT
Januari 29, 2024 13:10 MYT
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan membawa usul pemansuhan pencen ahli politik peringkat Persekutuan dan negeri di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan susulan wujudnya Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 bagi ahli Parlimen, Senator, Perdana Menteri, menteri dan Yang Dipertua.
“Bagi ahli politik di peringkat negeri seperti Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan kekal menerima pencen kerana ia diinstitusikan oleh aktanya yang tersendiri.
“Kepada kawan-kawan jangan percaya kepada pembohongan untuk meredakan kemarahan rakyat. Realitinya pada bulan Februari dan seterusnya, semua penjawat awam seperti cikgu, tentera, polis dan jururawat tidak akan dapat lagi pencen bagi lantikan baharu,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, Facebook pada Ahad.
Pada 26 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pelaksanaan skim tidak berpencen bagi kemasukan penjawat awam baharu turut terpakai bagi ahli dan lantikan politik.
Menurutnya, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyatakan ia termasuk wakil rakyat.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau menyokong 100 peratus terhadap pengumuman kerajaan tentang cadangan pemansuhan pencen bagi ahli politik.
“Kalau perkara ini betul, saya sokong 100 peratus tetapi ini kenyataan N.A.T.O (No Action Talk Only). Janganlah kita menipu, membohong dan mengelirukan rakyat untuk memuaskan nafsu politik kamu.
“Tidak adil nak samakan gaji ahli politik yang telah disemak berkali-kali dengan gaji penjawat awam. 10 tahun tak naik-naik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa bahawa gaji Menteri Besar boleh mencecah lebih RM200,000 sebulan jika dicampur dengan lantikan agensi dan lain-lain.
Tegasnya, kerajaan perlu menilai tangga gaji penjawat awam supaya mereka mendapat pembelaan yang sepenuhnya. - Sinar Harian