Kerajaan dibentuk dengan kepercayaan rakyat bukan debat - PM

Astro Awani
Oktober 25, 2022 14:05 MYT
Ismail Sabri menegaskan ketika musim pilihan raya semua calon yang bertanding akan sibuk di kawasan masing-masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembentukan sesebuah kerajaan adalah berdasarkan kepercayaan rakyat bukan kerana debat antara calon Perdana Menteri.
Apa lagi ketika musim pilihan raya, semua calon yang bertanding akan sibuk di kawasan masing-masing, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kenyataan Perdana Menteri itu sekali gus menolak cabaran yang dikemukan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua calon Perdana Menteri berdebat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Dalam masa sama, kata Ismail Sabri, berdebat bukan budaya politik di Malaysia selain tidak mendatangkan sebarang hasil.
"Kalau kita buat berdebat, dia (Anwar) akan sebut segala janji manifesto dia, termasuk janji bulan dan bintang, jadi ia tak perlu," katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat persiapan menghadapi PRU15 dan musim tengkujuh.
Ismail Sabri turut memaklumkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menyertai pilihan raya umum pada bulan depan dengan kepercayaan yang ada pada rakyat.
Pada 19 Oktober lalu, semasa berucap di Temerloh, Pahang, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan cadangan agar tiga calon Perdana Menteri yang bertanding dalam PRU15 ditemukan dalam acara debat.
Untuk rekod, Anwar merupakan calon Perdana Menteri PH, manakala Ismail Sabri ditonjolkan sebagai wakil BN.
Satu lagi gabungan yang menyertai PRU ke-15 ialah Perikatan Nasional yang menampilkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
#PRU15 #debat Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #ismail sabri yaakob
;