Kerajaan campuran boleh dibentuk jika tiada pihak ada majoriti - Penganalisis
Fareez Azman
Ogos 16, 2021 23:45 MYT
Ogos 16, 2021 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri membuka lebaran baharu kemelut politik negara, lebih-lebih lagi ketika belum ada mana-mana pihak yang dilihat mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, beliau tidak menolak kemungkinan pembentukan kerajaan campuran wakil daripada semua parti politik.
"(Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri) ada beberapa perkara jadi penentu dalam undi Pakatan Harapan (PH), sejauh mana sokongan Parti Pejuang dan Warisan untuk mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri? Ini sangat penting.
"Sejauh mana 15 Ahli Parlimen UMNO yang menolak Perikatan Nasional (PN) akan menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim... ini juga menjadi faktor kepada pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Sama juga di pihak UMNO, siapa calon (Perdana Menteri)? Kena kembali kepada perkara asas, ia perlu dicalonkan oleh parti dan bukan individu.
"Dalam konteks ini siapakah calon daripada UMNO, misalnya UMNO mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)... sejauh mana Ku Li boleh diterima parti lain seperti DAP, PKR dan sebagainya," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Justeru, Awang Azman berpendapat kerajaan campuran mungkin menjadi penyelesaian kemelut politik ketika ini.
"Dengan situasi politik agak getir ini, kerajaan campuran ini tidak dapat dielakkan," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Sivamurugan Pandian pula berpendapat, penjajaran baharu itu sukar dilakukan berdasarkan kepentingan fahaman parti-parti politik di negara ini.
"Bagi saya sukar, saya melihat masing-masing ada kepentingan berdasarkan fahaman politik. UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, DAP pula menolak.
"Masing-masing mementingkan fahaman politik berbanding mencari keseimbangan mencari jalan tengah politik, barang kali sekiranya seorang figura diangkat mampu meraih sokongan kedua dua blok mungkin kita mampu untuk melengkapkan percaturan politik sedang dilakukan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Tambahnya, pertembungan antara parti politik menyukarkan titik persamaan dicapai, bagaimanapun berkemungkinan akan wujud blok-blok lain untuk menjadi 'king maker' dalam kemelut politik ketika ini.
"Ia bukan sekadar perlantikan PM, ia melangkaui kepentingan itu. Seolah-olah setiap parti ingin menampilkan tawaran mereka yang telah berlaku pada penjajaran 2020 tidak akan diulangi.
"UMNO berhati-hati kali ini tidak mahu kesan apa yang berlaku 2020 diulang semula, bagaimana UMNO mahu mendominasi politik tanah air?
"Mahu tidak mahu terpaksa bergantung kepada beberapa parti politik termasuk Bersatu," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin
#letak jawatan
#kerajaan campuran
#Politik Malaysia
#Anwar Ibrahim
#Awang Azman Awang Pawi
#Ku Li