Kerajaan BN sentiasa utamakan kesejahteraan rakyat - Hamzah

Bernama
Ogos 15, 2016 22:21 MYT
HAMZAH: Jika ada anasir luar yang mahu menggugat ketenteraman negara, rakyat haruslah bersatu bersama-sama kerajaan dalam menangani perkara itu. - Gambar fail
Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha bagi memberikan masa depan dan kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata sejak dahulu lagi, kerajaan BN melaksanakan pemerintahan berdasarkan piagam perjuangan yang mementingkan dan mengutamakan rakyat.
"Kepimpinan terdahulu dan sekarang bertangungjawab memberi rakyat kehidupan yang aman sejahtera dan memupuk semangat juang tinggi untuk menjadikan negara sebuah negara yang maju dan sejahtera.
"Kita sudah 59 tahun merdeka, kerajaan BN sudah melakukan banyak pembangunan, perubahan dan perbezaan sejak dari tahun pertama merdeka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen #iamssm "Saya Anak Malaysia" sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.
Kempen anjuran SSM itu bertujuan mendidik dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga SSM dan rakyat.
Hamzah berkata jika ada anasir luar yang mahu menggugat ketenteraman negara, rakyat haruslah bersatu bersama-sama kerajaan dalam menangani perkara itu.
"Jika kita dapat bersama-sama berfikir bagaimana mengatasi ancaman luar, rasanya kita mampu mempertahan negara dari segi ancaman politik dan isu keselamatan, katanya.
#Barisan Nasional #Hamzah Zainuddin #piagam perjuangan
;