Kerajaan belum tubuh jawatankuasa bincang peruntukan pembangkang - Fadillah
Bernama
Mac 1, 2025 16:00 MYT
Mac 1, 2025 16:00 MYT
Fadillah berkata setakat ini, blok pembangkang secara keseluruhannya belum mengemukakan dokumen rasmi perincian cadangan mereka. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Jawatankuasa bagi membincangkan cadangan berhubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang masih belum dapat ditubuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata ia berikutan setakat ini, blok pembangkang secara keseluruhannya belum mengemukakan dokumen rasmi perincian cadangan mereka.
"Bila saya dah terima cadangan (nanti), baru saya dapat akan tubuhkan jawatankuasa di peringkat kerajaan dan jawatankuasa di peringkat pembangkang, kemudian barulah kita bincang, tapi sekarang ini apa nak dibincangkan?
"(Ahli Parlimen pembangkang) bercakap dengan media tetapi tidak melaksanakan apa-apa. Jadi saya tak dapat nak buat apalah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau kawasan Parlimen Petra Jaya, hari ini.
Semalam media melaporkan pihak pembangkang mendakwa mereka disyaratkan menghantar surat kepada timbalan perdana menteri itu sebelum jawatankuasa berkenaan ditubuhkan.
-- BERNAMA
#peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang
#jawatankuasa belum ditubuhkan
#Fadillah Yusof
#Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan
#terkini