TAHNIAH diucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke – 8 pada Ahad yang lalu. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru menamatkan kemelut politik yang melanda negara kita hampir satu minggu pada minggu yang lalu susulan peletakkan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke – 7 serta kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada awal minggu yang lalu. Tumpuan kini sudah tentu diberikan terhadap pembentukan kabinet menteri baru yang bakal mengetuai kementerian – kementerian diperingkat persekutuan. Dalam usaha membentuk kabinet menteri baru ini, langkah harus lah diambil bagi memastikan semua kabinet menteri benar – benar mewakili semua kaum dan agama yang ada dalam negara kita. Kabinet menteri yang ingin dibentuk kelak tidak boleh hanya terdiri daripada kalangan bangsa – bangsa tertentu sahaja.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana negara kita memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni buat sekian lama. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara masyarakat dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama ini, ia tidak bermakna kita semua tidak dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni sebagai sebuah masyarakat didalam sebuah negara. Semua pihak harus melakukan perubahan minda dan jiwa mereka supaya tidak mementingkan diri mereka atau mementingkan kaum mereka sahaja sekiranya kita ingin kekal hidup aman dan harmoni serta menjadikan masyarakat dan negara kita sebagai sebuah masyarakat dan negara yang benar – benar maju serta dihormati oleh semua negara dan masyarakat dunia.

Setiap individu adalah unik, setiap kaum juga adalah unik. Setiap daripada kita tidak diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna, semua pihak memiliki kelebihan dan kekurangan masing – masing. Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita semua dapat ketepikan sebarang perbezaaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat diri kita semua serta membawa kemajuan pada negara kita. Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam agama Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al – Hujurat: Ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki – laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku – suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. Ayat Qur’an ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa, Tuhan telah ciptakan kita semua supaya kita dapat saling kenal – mengenali antara satu sama lain serta hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni walaupun kita berlainan bahasa, budaya, keturunan serta warna kulit.

[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8

Semua kaum di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memajukan dan memakmurkan negara semenjak negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Setiap daripada kita tanpa mengira kaum dan agama masing – masing akan terus mainkan peranan ke arah kemajuan dan kemakmuran negara kita sama ada sumbangan itu dibuat secara langsung ataupun secara tidak langsung. Negara – negara yang mengelar diri mereka sebagai negara maju di dalam dunia ni pun gagal untuk hidup aman damai bersama dengan kaum lain yang ada dalam negara mereka serta dikalangan sesama kaum mereka sendiri. Malaysia adalah sebuah negara bertuah kerana memiliki pelbagai kaum dan agama.

Dengan wujudnya kepelbagaian kaum ini, ia menjadi faktor penting dalam mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling aman serta makmur di dunia. Antara tiga kaum utama yang wujud di Malaysia ialah Melayu, Cina, dan India. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada 80 kaum etnik, terutamanya di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka sendiri, ini termasuklah juga dengan kaum. Setiap kaum mempunyai kekuatan dan kelemahan mereka sendiri. Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua kaum dapat tinggal dalam sebuah masyarakat dan negara untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan saling bekerjasama bagi kemajuan kaum itu sendiri serta kemajuan negara.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pembentukan kabinet menteri baru yang ingin dilakukan kelak dapat mewakili semua kaum yang ada dalam negara kita. Sekiranya, kabinet menteri baru yang dibentuk kelak tidak mewakili semua kaum yang ada dalam negara kita, amat sukar untuk kerajaan baru untuk memerintah negara ini dengan baik dan lancar sekaligus menjadikan kedudukan kerajaan baru kelak tidak stabil dan membuka ruang dan peluang kepada kemunculan kemelut politik baru untuk ambil alih.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI