Kerajaan baharu diharap buka luas ruang rakyat kongsi pandangan - Penganalisis
Astro Awani
Ogos 17, 2021 15:59 MYT
Ogos 17, 2021 15:59 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat mengharapkan pentadbiran kerajaan akan datang membuka ruang seluasnya kepada masyarakat untuk berkongsi pandangan bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap isu berkepentingan rakyat dan negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, suara rakyat perlu dihormati dan diberi keutamaan selain program vaksinasi juga diharapkan dapat terus berjalan dengan baik.
Jelasnya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih mikro perlu dilaksanakan agar dapat mempercepatkan proses pemulihan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan lebih sempurna.
"Perdebatan dan pertikaian dalam media sosial juga perlu mengadaptasi kognitif positif dan penggunaan kata-kata kesat serta negatif perlu dihentikan. Ia bagi kita semua membentuk budaya positif dalam interaksi media sosial.
"Keterujaan ciapan negatif berhubung perbezaan fahaman politik khususnya boleh memberikan mesej yang salah kepada generasi pengundi muda terutamanya Undi18 dan masyarakat antarabangsa terhadap negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu jelas Noor Nirwandy, inilah masanya semua pihak membina semangat patriostisme dengan kata kunci dan tanda pagar yang lebih positif dan bersifat penyatuan di kalangan rakyat.
"Pertelingkahan politik tidak ada hujungnya dan kita berharap pimpinan baru negara dapat mendengar suara rakyat dan terus mengangkat demokrasi berasasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Kebersamaan rakyat dan keterbukaan ahli politik membina imej berkepentingan rakyat adalah penting bagi mengelakkan negara terperangkap dalam budaya interaksi negatif yang akan memberikan kesan jangka panjang pada kestabilan dan keharmonian negara," ujarnya.
#COVID-19
#media sosial
#pandemik
#PPN
#program vaksinasi
#Perlembagaan
#patriotisme
#Pelan Pemulihan Negara
#Rukunegara