Keputusan UMNO putuskan kerjasama dengan Bersatu bakal saksikan jajaran politik baharu
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 4, 2021 11:58 MYT
Mac 4, 2021 11:58 MYT
KUALA LUMPUR : Keputusan UMNO untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dijangka bakal menyaksikan penjajaran baharu dalam landskap politik negara.
Menurut Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, perkara itu akan turut mempengaruhi kualiti pemain-pemain politik menjelang PRU15.
“Kalau kita lihat surat yang dihantar oleh Presiden UMNO, saya kira ia menunjukkan dengan jelas bahawa UMNO tidak ada hasrat untuk bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU akan datang.
“Persoalannya di sini bukan sahaja tentang hasrat UMNO kerjasama dengan parti mana, apa yang lebih penting adalah sejauh mana keputusan UMNO ini akan membentuk satu penjajaran baharu dalam konteks kualiti politik apabila berdepan PRU akan datang.
“Dalam konteks ini kita ingin melihat UMNO akan bekerjasama dengan siapa dan siapa pula akan bekerjasama dengan Bersatu untuk bentuk Perikatan Nasional (PN) juga jadi persoalan percaturan baharu yang akan dominasi perbincangan antara parti dalam masa terdekat,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Bersatu bincang keputusan MT UMNO petang ini â Reaksi Felo Penyelidik Ilham Centre
Sementara itu, Dr Hamidin juga mengaitkan keyakinan UMNO untuk berpisah dengan Bersatu susulan siri kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
Beliau berpandangan ini memberi bayangan sokongan akar umbi terhadap parti itu masih kuat.
Terdahulu, Bersatu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat Biro Politik Bersatu semalam yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membincangkan surat Presiden UMNO bertarikh 26 Februari lalu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, dalam hal ini, biro politik mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.