Keputusan UMNO dan Pas jemput Bersatu selari hasil mesyuarat MN - Shahril

Astro Awani
Ogos 21, 2020 22:28 MYT
Shahril menegaskan keyakinannya, dalam hari-hari mendatang perkara berkenaan akan dikupas dengan lebih panjang oleh pelbagai pihak. - Gambar fail
Surat tanda tangan Presiden UMNO dan Presiden Pas yang menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) konsisten dengan keputusan mesyuarat gabungan itu dan pemakluman kepada Majlis Tertinggi (MT) parti sendiri, kata Shahril Sufian Hamdan.
Ketua Penerangan UMNO itu menegaskan keyakinannya, dalam hari-hari mendatang perkara berkenaan akan dikupas dengan lebih panjang oleh pelbagai pihak.
"Mutakhir ini, spekulasi rancak berkenaan MN, PN. Dalam situasi tersebut, tular satu surat yang ditandatangani kedua-dua Presiden UMNO dan Pas menjemput Bersatu ke dalam Muafakat Nasional. Surat itu baru sahaja disahkan oleh Presiden UMNO dalam tweetnya. Dalam kerancakan spekulasi dan lontaran pandangan, izinkan saya berkongsi kronologi fakta yang berlaku - dengan izin kepimpinan parti yang juga telah berkongsi fakta serupa dan mengulas sebelum ini.
"Dalam perjumpaan bersama Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 29/7/2020, Perdana Menteri mengumumkan hasrat Bersatu menyertai Muafakat Nasional. Hasrat sama barangkali juga disuarakan kepada pihak Pas, tetapi bukan tempat UMNO untuk mengesahkan bab itu. Pada 6 Ogos lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional dipengerusikan kedua-dua Timbalan Presiden UMNO dan Pas telah mengambil keputusan untuk menerima Bersatu masuk ke dalam MN. Pada masa yang sama, soal perbincangan agihan kerusi dan hal-hal lain akan diteruskan.
"Pada Mesyuarat MT dan Biro Politik UMNO bertarikh 7 Ogos, perkara ini dilaporkan kepada kedua-dua mesyuarat dan semua yang hadir jelas mengenai keputusan mesyuarat MN sehari sebelumnya," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan partinya dan Pas menjemput Bersatu untuk menyertai MN.
Pengesahan itu dibuat selepas sepucuk surat tular di media sosial pada Khamis berhubung jemputan terhadap Bersatu menyertai MN.
Dalam pada itu kata Shahril, kronologi itu adalah hakikat selain mengakui keresahan akar umbi setelah hal tersebut dilaporkan di media juga adalah hakikat.
"Saya turut mempunyai pandangan tersendiri tetapi selaku Ketua Penerangan dan dalam soal besar seperti ini, biarlah pandangan itu dilontarkan dalam mesyuarat terlebih dahulu selagi isu masih boleh dibincang - berlandaskan analisa lanskap politik yang juga kian berubah semenjak mesyuarat terakhir. Jika ada keperluan kelak, saya akan mengulas situasi ini dengan lebih panjang.
"Tetapi untuk ketika ini, apapun kaedah penyampaian pandangan kita, dan apapun kaedah untuk mengharmonikan antara dua hakikat yang saya sebut di atas, biarlah fakta kekal fakta. Adalah tidak tepat andai ada gambaran bahawa Presiden bertindak di luar pengetahuan majlis kepimpinan yang lain.
"Melihat "mood" akar umbi, kenyataan ini mungkin kurang popular, tetapi berpegang kepada prinsip "berkata benar walaupun pahit". Ini terpakai kepada pemimpin juga akar umbi.
"Kita tidak wajar mengubah fakta atau sejarah semata-mata melihat 'ground' berubah lantas mahu meraih populariti dalaman parti. Wallahua'lam," ujarnya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju menyertai MN dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO kurang senang dengan pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin itu dan menjelaskan akar umbi parti itu tidak bersetuju menerima Bersatu dalam MN.
#Barisan Nasional #majlis tertinggi #Malaysia #Media #media sosial #PAS #politik #PPBM #UMNO #Zahid Hamidi
;