Keputusan Subramaniam tanding jawatan presiden MIC langkah terbaik - Penganalisis
Haider Yutim
Februari 15, 2015 20:21 MYT
Februari 15, 2015 20:21 MYT
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan keputusan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan semula parti itu, sebagai langkah yang tepat.
Katanya, melihat kepada keadaan MIC yang sememangnya sudah berpecah dua, adalah lebih baik jika Subramaniam bertanding untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti itu.
"MIC memang dah berpecah dua... kalau Dr S. Subramanian tidak bertanding pun, akan ada orang lain yang akan bertanding contohnya Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan.
"Hubungan di antara kumpulan dalam parti itu sememangnya dah putus, tidak ada kompromi antara kedua belah pihak. Dan ini adalah jalan yang terbaik," kata Timbalan Dekan Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM itu ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengulas tentang pengumuman yang dibuat Subramaniam petang Ahad tadi, Shaharuddin berkata ianya memang sudah dijangka.
Menurut beliau, selama ini Presiden MIC Datuk seri G Palanivel tidak dianggap sebagai presiden oleh kebanyakan ahlinya, yang mana mereka hanya menganggapnya sebagai pengganti sementara kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang telah meletak jawatan pada Disember 2010.
"Oleh itu, ruang untuk Subramaniam bertanding memang lebih luas kerana dulu pun Palanivel cuma seperti presiden sementara sahaja. Dan bila dah alang-alang begini, bertanding sahaja lah," katanya.
Walau bagaimanapun katanya semua masih bergantung pada pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Namun bagi saya jika nasihat macam mana pun, kumpulan ini bukan sahaja sudah 'retak menanti belah', tetapi sudah terbelah pun," tambah Shaharuddin.
Dr S. Subramaniam dalam satu ucapan hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan semula parti itu nanti.
Beliau berkata demikian di hadapan hampir 2,000 ketua cawangan dan ahli MIC yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia ketika mesyuarat "Isu Semasa dan Masa Depan MIC".
Beliau berkata parti itu memerlukan perubahan dan oleh kerana itu beliau akan bertanding jawatan Presiden.