Keputusan RoS: "Ada dua kemungkinan, pemilihan UMNO sebelum atau selepas PRU-15" - Mahdzir
Abd Hadi Che Awang
Julai 14, 2022 14:21 MYT
Julai 14, 2022 14:21 MYT
PEDU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat dua kemungkinan akan berlaku selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan berhubung permohonan parti itu meminda Perlembagaan parti seperti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, Mei lalu.
Kata Mahdzir, kemungkinan-kemungkinan itu ialah pemilihan parti akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya permohonan berkenaan diluluskan atau pemilihan diadakan selepas PRU-15 jika sebaliknya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat menerima keputusan yang dikeluarkan RoS yang dijangka diumumkan selewat-lewatnya Sabtu ini selain tidak bersifat keterlaluan sebelum keputusan dikeluarkan.
Mahdzir dalam masa sama menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menghadapi kemungkinan yang dijangka berlaku selepas keputusan berkenaan diumumkan.
"Setakat ini kita (UMNO) tidak dapat lagi (keputusan), tetapi ada (ramai) orang lawan teka sekarang ini (jangkaan keputusan), tetapi pada saya, tidak perlu keterlaluan, kita tunggu keputusan daripada (RoS) .
"Kita (ahli UMNO juga) bila keputusan keluar, pada waktu itu, kita (perlu) terima keputusan apa yang diputuskan, (kemungkinan) ada dua sama ada diluluskan atau tidak diluluskan, itu sahaja, tidak ada yang lain dah.
"Kalau tidak lulus (pindaan) pemilihan kena buat, lepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dulu baru boleh pemilihan (parti), tetapi apapun saya yakin Perdana Menteri ada kebijaksanaannya (menghadapi kemungkinan),” ujar Mahdzir.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Projek PROSPEK Pedu di Kampung Padang Setul, Padang Terap di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, RoS belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan tarikh pemilihan parti.
Kata Hamzah, sebarang keputusan yang akan dikeluarkan jabatan itu kelak dibuat secara bebas.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.
Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.
PAU Khas pada Mei lalu meluluskan secara rasmi usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Melalui pindaan itu, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.